Buru keistimewaan tujuh golongan di sisi Allah

Baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik khususnya dalam menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan dan contoh yang berjaya dalam melaksanakan tuntutan pelbagai jenis ibadat sebagai pengajaran kepada umatnya bagi mendapatkan tempat yang selesa di sisi Allah SWT pada hari kiamat.

Di mana terdapat tujuh jenis golongan manusia yang berjaya mendapat tempat di sisi Allah kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang diwariskan oleh baginda kepada mereka.

Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang intim dengan Allah SWT selaku Pencipta seluruh alam.

Perkara ini ada ditegaskan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama).”

Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh mengingatkan kita kepada Allah SWT, bukan sekadar itu, malah mencemburui serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.

Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi sabdanya yang bermaksud: “Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas, memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka, justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari Allah setimpal dengan apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.

Bukan mudah untuk menjadi hamba Allah yang sanggup berkorban demi Allah dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di atas.

Apatah lagi kepada umat Muhammad masa kini yang tenggelam dalam banyak perkara yang tidak ada hubungan dengan nilai keagamaan, termasuklah gelagat dalam bulan Ramadan dan malam hari raya, mereka memperlihatkan betapa aspek agama perlu dipelihara pada waktu tertentu secara bermusim, sehingga tindakan mereka itu tidak menjadikan mereka mampu untuk menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Golongan yang ketujuh yang disebut oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas iaitu yang mengingati (berzikir) kepada Allah hingga menitiskan air mata bukan mudah untuk ditemui pada zaman ini, kerana manusia pada hari ini tidak memelihara sumber pemakanan yang diambil (hasil pendapatan), tidak mengendahkan pantang larang agama, halal dan haramnya sesuatu yang diperolehinya serta tidak mempedulikan nilai-nilai agama dalam kehidupan mereka, malah Islam dipinggirkan dalam hidup mereka.

Pendekatan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra’ yang bermaksud : “Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyuk.”

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : “Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Jelas daripada ayat dan hadis di atas, menunjukkan bahawa nilai air mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT diganjari dengan pahala dan menyebabkan si pelakunya akan dimasukkan dalam syurga, begitulah sebaliknya jika seseorang itu yang menangis bukan kerana takut kepada Allah, maka dia akan dimasukkan dalam api neraka, malah air mata yang dialirkan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan selama hidup di dunia, sama ada air mata itu akan menjadi penolonga baginya atau sebaliknya.

Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT:

1. Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2. Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3. Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4. Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5. Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Sehubungan itu juga, Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah ada menegaskan, bahawa terdapat jenis tangisan yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain berdasarkan kefahaman serta penghayatan seseorang itu terhadap agamanya:-

1. Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.

2. Menangis kerana rasa takut.

3. Menangis kerana cinta.

4. Menangis kerana gembira.

5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.

6. Menangis kerana terlalu sedih.

7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.

8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

10. Menangis orang munafik – pura-pura menangis.

“..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.” (AnNajm:43)

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Ibadat pada waktu malam

Sesungguhnya waktu malam adalah satu waktu yang disifatkan paling penting dan utama, bukan sahaja ia bersifat hening dan tenang, malah jauh dari sebarang rasa sikap untuk menunjuk-nunjuk ibadat yang dilakukan kepada orang lain.

Justeru peristiwa penting dalam sejarah Islam kebanyakannya berlaku pada waktu malam seperti peristiwa penurunan al-Quran malam al-Qadr, peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah dan Abu Bakr, Israk Mikraj dan lain-lain.

Begitulah juga dengan Rasulullah s.a.w yang merupakan hamba maksum yang dijanjikan Allah syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allah kepadanya.

Hadis daripada Ali Said r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda: Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka itu dalam golongan orang yang mengingati Allah lelaki dan perempuan – Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.

Abdullah bin Salam menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau dengar daripada Rasulullah s.a.w. ialah sabdanya: Wahai manusia berilah salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera – Riwayat Tarmizi.

Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih ketenangan.

Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk. – Riwayat Abu Daud. – mks.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: