Azab pedih sebagai balasan orang bunuh diri

Azab pedih sebagai balasan orang bunuh diri
Dijawab oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Manusia diharamkan mencederakan diri sendiri sehingga boleh kehilangan nyawa

Soalan:
KITA dikejutkan beberapa laporan kurang menyenangkan mengenai saudara seagama kita yang membunuh diri. Bolehkah ustaz menjelaskan kesan perbuatan itu dan apakah yang boleh kita sebagai ibu bapa dan remaja lakukan bagi mengelak daripada kejadian sedemikian? Apakah ada sebarang doa yang boleh kita amalkan bagi mengelak perbuatan yang menyebabkan kita terkeluar daripada landasan agama kita?

DRPD: Ana,
Perak

Jawapan:
ISLAM sangat menghargai jiwa manusia. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa ayat 93 iaitu yang bermaksud: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

Juga surah al-Maidah ayat 32 mengenai kisah Qabil membunuh Habil iaitu yang bermaksud: “Dengan sebab demikian (iaitu pembunuhan kejam itulah), Kami sudah tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia sudah membunuh manusia semuanya…”
Begitu juga surah al-Furqan ayat 68 yang bermaksud: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah SWT, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.”

Sehubungan itu, dosa membunuh jiwa termasuk membunuh diri adalah dosa besar yang bakal menerima azab. Seperti firman-Nya dalam surah An-Nisa ayat 29 bermaksud : “Janganlah kamu sekalian membunuh jiwa-jiwamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengasihani kamu.”

Apa pun alasan dan cara membunuh diri seperti meminum racun, gantung diri, terjun tempat tinggi, melukai diri dan seumpamanya hukumnya tetap haram dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.

Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka tangannya akan menusuk besi itu ke perutnya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Barang siapa yang meminum racun untuk membunuh dirinya, maka dia meneguk racun itu di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Dan barang siapa yang menjatuhkan dirinya dari gunung untuk membunuh dirinya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya.”

Biasanya orang yang melakukan perkara terkutuk itu disebabkan kecewa atau tidak sanggup menempuh ujian hidup atau seumpamanya. Walau bagaimana berat ujian yang ditimpa, sebagai seorang yang beriman hendaklah menghadapinya dengan sabar. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah SWT) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat…”

Begitu juga surah yang sama ayat 214 bermaksud: “Adakah kamu patut menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang sudah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka sudah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda), dan serangan penyakit, serta digoncang (oleh ancaman bahaya musuh) sehinggalah berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada berserta: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu dekat (asalkan kamu berpegang teguh kepada agama Allah SWT).”

Sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Yahya bin Sinan berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu, kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur, maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya.” Wallahualam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: