Kemurnian hati dorong amalan mulia

Julai 25, 2008

Kemurnian hati dorong amalan mulia

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

APABILA berbicara soal hati, Rasulullah SAW memaklumkan bahawa dalam diri manusia ada segumpal daging, yang jika baik daging itu maka baik pula manusia itu. Sebaliknya jika daging itu buruk dan busuk, maka kualiti orang itu sudah tentulah tersangat rendah dan itulah hati.

Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya. Dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.

Contohnya, kita bersedekah kepada seorang miskin. Kelihatannya itu adalah perbuatan mulia, tetapi jika niat kita untuk menyombongkan diri kepada orang lain bukan kerana belas kasihan kepada si miskin, maka perbuatan itu sebenarnya tidak mulia lagi.

Kedua-dua perkara ini sebetulnya mengajarkan hal yang sama, bahawa kualiti keagamaan kita sebagai Muslim boleh dilihat daripada hati yang dimiliki setiap individu.

Hati adalah ‘cermin’ kepada segala perbuatan kita. Setiap kita melakukan perbuatan, maka hati kita akan mencerminkan niat yang sebenarnya dari perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan kita sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Oleh sebab itu, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Jika hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati kita agar menjadi baik. Seperti puasa, tujuannya untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam.

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah ketika tiada mata yang melihat dan berbuat baik ketika semua orang menjadi jahat.

Demikian juga solat. Tujuan utama solat adalah membuka kepekaan hati. Orang yang solatnya baik, memiliki kepekaan hati untuk membezakan yang baik, buruk, bermanfaat dan yang membawa mudarat. Sebab itulah solat yang baik boleh menyebabkan kita jauh dari hal yang keji dan mungkar.

Tujuan utama zakat adalah melatih hati kita untuk peduli kepada orang yang lemah dan tidak berdaya. Hidup harus saling menolong, supaya tidak terjadi kezaliman yang menyebabkan kejahatan. Malah, kebiasaan menolong orang lain dengan zakat akan menyebabkan hati kita menjadi lembut dan penyantun.

Seluruh aktiviti ibadah termasuk mengerjakan umrah bertujuan melembutkan hati. Apa perlunya hati yang lembut? Kerana hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika hidup di akhirat nanti.

Hati yang lembut adalah hati yang terbuka dan peka terhadap sekitarnya. Sedangkan hati yang kasar dan keras adalah hati yang tertutup terhadap sekitarnya seperti firman Allah dalam ayat yang bermaksud: “Dan barangsiapa di dunia ini buta hatinya, maka di akbirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al Israa, ayat 72)

Ayat itu memberi gambaran yang sangat jelas bahawa hati menjadi sasaran utama peribadatan kita dan al Quran memberikan maklumat yang sangat banyak mengenai hati sehingga tidak kurang dari 188 kali informasi mengenai hati diulang-ulang.

Ada beberapa tingkat kualiti hati yang buruk dalam Islam iaitu yang pertama adalah hati yang berpenyakit. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit.

Firman Allah bermaksud: “Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta” (Surah al Baqarah, ayat 10)

Kedua ialah hati yang mengeras. Hati yang pada peringkat awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi mengeras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, pendendam, berdusta dan suka memaki hamun, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa. Mereka menganggap bahawa apa yang mereka kerjakan adalah benar malahan normal.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan”. ( Surah al An’aam, ayat 43)

Tingkat ketiga adalah hati yang membatu. Hati yang keras kalau tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah l Baqarah, ayat 74)

Sesuatu yang telah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembut hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu menjadi kapas.

Tingkat keempat pula adalah hati yang tertutup iaitu apabila hati tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu di dalam firman yang bermaksud: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14)

Terakhir ialah hati yang dikunci mati, iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah dalam firman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan pembabitan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al Baqarah, ayat 6-7)

Sebaliknya hati yang baik adalah hati yang bergetar apabila disebutkan nama Allah, seperti firman-Nya yang bermaksud: “Iaitu orang yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang yang mendirikan sembahyang dan orang yang menafkahkan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 35)

Sesungguhnya betapa seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya berbanding daging yang lain. Jika seisi tubuh badan ini kenyal dengan daging yang merah berdarah, tetapi hati yang kecil itu lompang dek penyakit, kaku kerana mengeras, kelu dan membatu, tiada getaran lagi kerana tertutup rapat dan tidak fungsi kerana sudah mati, tiada apa lagi yang berbaki melainkan hari yang tiada isi, berbuat baik jauh sekali, ibadat berkira apatah lagi menggerak badani, akhirnya akal juga mati kerana tiada manusia yang bahagia tanpa hati yang murni.


Renungan Bersama

Julai 12, 2008
Renungan bersama….

Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan
walau pun sekadar senyuman.

Dunia ini umpama lautan yang luas. Kita adalah kapal
yang belayar di lautan telah ramai kapal karam di dalamnya
andai muatan kita adalah iman. dan layarnya taqwa, nescaya
kita akan selamat dari tersesat di dalam lautan hidup ini.

Hidup tak selalunya indah tapi  yang indah itu tetap
hidup dalam kenangan

Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu
selalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran
hidup sentiasa menjadi mainan orang.

Hati yang terluka umpama besi bengkok walau diketuk
sukar kembali kepada bentuk asalnya.

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan
harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada
kekuasaan ilmu.

Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan
ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat
buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.


Sabarlah Wahai Mukmin!

Julai 12, 2008

Sabarlah Wahai Mukmin!
 
Sudah menjadi lumrah bahawa manusia akan didatangkan dengan pelbagai ujian. Ujian yang mendatang di dalam pelbagai bentuk, tetapi yang pasti tatkala ujian itu datang menjengah, pastinya kita akan mengeluh, merengek atau resah. Namun, di situlah akan tampak setinggi mana iman kita. Allah menurunkan cubaan kepadamu, agar Dia dapat menguji iman kita, kita engkau akan bersabar ataukah kita akan marah, dan adakah kita redha terhadap takdir Allah?

Firman-Nya di dalam Al-Quran Al- Karim tentang tuntutan sabar…

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kapal-kapal (yang berlayar) di laut seperti gunung-gunung. Jikalau Dia mengkehendaki, Dia akan menenangkan angin, maka jadilah kapal-kapal itu terhenti di permukaan laut. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi setiap orang yang bersabar dan banyak bersyukur.” (Asy-Syura: 32-33)

Allah SWT amat menyanjungi orang-orang yang sabar di dalam menghadapi dugaan…

“Dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah: 177)

Dan Allah SWT juga amat mencintai orang-orang yang sabar…

“Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar.” (Ali Imran: 146)

Allah memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan balasan yang lebih baik daripada amalnya dan melipatgandakannya tanpa terhitung…

“Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (An-Nahl: 96)

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabar yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”. (Az-Zumar: 10)

Bahkan, keuntungan pada hari kiamat dan keselamatan dari neraka akan menjadi milik orang-orang yang sabar…

“Sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan): “Salamun ‘alaikum bima shabartum.” Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” (Ar-Ra’d: 23-24)

Benar. Semua ini merupakan balasan bagi orang-orang yang sabar di dalam menghadapi cubaan.

Berikut pula adalah sabda Baginda Rasulullah SAW mengenai sabar…

“Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Apabila mendapat kelapangan, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan bila ditimpa kesempitan, maka dia bersabar, dan itu kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Dari Sa’id bin Abi Waqqash RA , dia berkata: “Aku pernah bertanya : Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling keras cubaannya?” Beliau menjawab: “Para nabi, kemudian orang pilihan dan orang pilihan lagi. Maka seseorang akan diuji menurut agamanya. Apabila agamanya merupakan (agama) yang kuat, maka cubaannya juga berat. Dan, apabila di dalam agamanya ada kelemahan, maka dia akan diuji menurut agamanya. Tidaklah cubaan menyusahkan seorang hamba sehingga ia meninggalkannya berjalan di atas bumi dan tidak ada satu kesalahan pun pada dirinya.” (Riwayat At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ad-Darimy dan Ahmad)

“Cubaan tetap akan menimpa ke atas diri orang mukmin dan mukminah, anak dan juga hartanya, sehingga dia bersua Allah dan pada dirinya tidak ada lagi satu kesalahan pun.” (Isnadnya Hasan Sahih, ditakhrij At-Tirmidzi, Ahmad dan Al-Hakim)

“Tidaklah seorang Mukmin ditimpa sakit, letih, demam, sedih hingga kekhuatiran yang mengusiknya, melainkan Allah mengampuni kesalahan-kesalahannya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam sebuah hadith qudsi…

“Sesungguhnya Allah berfirman: “Apabila Aku menguji hamba-Ku (dengan kebutaan) pada kedua matanya lalu dia bersabar, maka Aku akan menggantikan kedua matanya itu dengan Syurga.” (Riwayat Bukhari)

Menurut Al-Hafidz di dalam Al-Fath, yang dimaksudkan dengan habibatain adalah dua hal yang dicintai. Sebab itu kedua mata merupakan anggota badan manusia yang paling dicintai. Sebab dengan tidak adanya kedua mata, penglihatannya menjadi hilang, sehingga dia tidak dapat melihat kebaikan sehingga membuatnya senang, dan tidak dapat melihat keburukan sehingga dia dapat menghindarinya.

Al-Fudhail bin Iyadh pernah mendengar seseorang mengadukan cubaan yang menimpanya. Maka dia berkata kepadanya. “Bagaimana mungkin engkau mengadukan yang merahmatimu kepada orang yang tidak memberikan rahmat kepadamu?”

Sebahagian ulama’ Salaf yang soleh berkata: “Barangsiapa yang mengadukan musibah yang menimpanya, seakan-akan dia mengadukan Rabb-nya.”

Tetapi pengaduan di atas merupakan gambaran penyesalan dan penderitaan kerana mendapat cubaan dari Allah, yang dilontarkan kepada orang yang tidak mampu mengubati, seperti kepada teman atau tetangga.

Abu-Darda’ RA berkata: “Apabila Allah telah menetapkan suatu takdir, maka yang paling dicintai-Nya adalah meredhai takdir-Nya.”

Perbaharuilah imanmu dengan lafaz la ilaha illallah dan carilah pahala di sisi Allah kerana cubaan yang menimpa kita. Sesungguhnya tidak ada taufik kecuali dari sisi Allah SWT.


Cinta Sejati, Sebuah Renungan

Julai 12, 2008

Cinta Sejati, Sebuah Renungan
 
Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasihsayang Tsauban terhadap dirinya.

Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya “Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi.”

Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud “Barangsiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman.” Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula. .

Teladan dari kisah ini:

Cinta kepada Rasulullah adalah cinta sejati yang berlandaskan keimanan yang tulen. Mencintai Rasul bermakna mencintai Allah Kita bersama siapa yang kita sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi, insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti. Hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu. Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat. Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda. Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang berkawan di atas landasan keagamaan dan semata-mata kerana Allah.
 
 
 
 



“Cukuplah bagiku Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar”.

(Surah At Taubah : 129)

 

 


Petua Untuk Suami Menambat Hati Isteri

Julai 12, 2008

Bagaimana mengekalkan perhubungan bahagia? Apakah petuanya bagi suami untuk menambat hati isteri?

1.     Sentiasa berdoa agar disayangi.
2.     Apabila balik rumah, tegur dan sentuh isteri sebelum buat kerja lain.
3.     Tunjukkan keprihatinan dengan bertanya secara khusus mengenai kegiatan isteri sepanjang hari.
4.     Jadikan seorang pendengar yang baik kepada isteri .Jangan tergesa-gesa untuk menyelesai masalah isteri. Apa yang lebih penting adalah simpati.
5.     Berikan masa sekurang-kurangnya 30 minit perhatian yang berkualiti terhadap isteri.
6.     Berikan bunga, minyak wangi atau seumpamanya sebagai hadiah atau untuk memujuk ketika isteri sedang marah.
7.     Tolong masak atau ajak makan di luar sekali sekala.
8.     Beri pujian mengenai penampilan isteri (rambut, wajah, pakaian dan sebagainya).
9.     Pujuk apabila isteri marah atau kecil hati.
10.   Beri bantuan atau kerjasama setakat yang mampu.
11.   Luangkan masa yang lebih agar tidak mendesak isteri untuk lebih cepat bergerak atau bertindak.
12.   Jika lambat pulang, beritahu lebih awal atau telefon rumah.
13.   Sekiranya isteri minta bantuan, nyatakan boleh atau tidak dengan tidak mengungkit atau banyak komen.
14.   Jika anda perlu bersendirian untuk berfikir, beritahu bila anda akan pulang.
15.   Apabila sudah sejuk, beritahu isteri apa yang mengganggu fikiran secara sopan. Jangan menyalahkan isteri.
16.   Bila isteri bercakap, beri perhatian sepenuhnya.
17.   Apabila keluar, tanya isteri kalau ada sesuatu yang ingin dipesan.
18.   Beritahu bila kita ingin berehat atau tidur.
19.   Peluk isteri dengan penuh kasih sayang sekurang-kurangnya empat kali sehari.
20.   Telefon isteri dari tempat kerja untuk bertanya khabar, sekadar ingin memberitahu “AKU CINTA PADAMU “.
21.   Ucapkan kata-kata sayang sekurang-kurangnya dua kali sehari.
22.   Tolong kemaskan katil atau bilik tidur.
23.   Ajak isteri berjalan-jalan tanpa anak-anak.
24.   Cuba tunaikan apa yang isteri hajati.
25.   Nyatakan anda merinduinya bila berjauhan.
26.   Bawa pulang buah tangan, kuih kegemaran isteri sekali sekala.
27.   Sentiasa lakukan ibadah bersama.
28.   Jika keluar daerah,telefon isteri memberitahu nombor telefon tempat penginapan dan memberitahu anda sudah selamat sampai.
29.   Sentiasa kemas dan wangi sebelum tidur bersama.
30.   Urut belakang isteri sekali sekala.
31.   Peluk dan belai isteri sekali sekala tanpa implikasi seksual.
32.   Sabar dan tenang apabila mendengar cerita dan masalah isteri.
33.   Pamerkan kasih sayang di khalayak ramai. Jangan abaikan isteri atau tinggalkannya jauh ketika berjalan.
34.   Apabila keluar berjalan, elok berpegangan tangan untuk menunjukkan kemesraan.
35.   Buatkan air minuman untuk isteri sekali sekala.
36.   Ketika makan di luar, jangan harapkan isteri memilih tempat makan setiap masa.
37.   Beri perhatian lebih kepada isteri daripada orang lain ketika di kalayak ramai.
38.   Lebihkan isteri daripada anak-anak.
39.   Bila isteri kurang sihat, beri perhatian sewajarnya. Manjakan isteri sepertimana dia memanjakan anda.
40.   Seeloknya masuk tidur serentak.
41.   Belai isteri sebelum pergi kerja.
42.   Ucapkan terima kasih setiap khidmat yang isteri berikan.
43.   Cari masa untuk berdua-duaan sekali sekala.
44.   Lakukan riadah bersama isteri.
45.   Pergi berkelah sekali sekala.
46.   Tolong cuci atau jemur pakaian sekali sekala.

 


Nasihat Yang Baik Untuk Dijadikan Panduan

Julai 8, 2008

PERTAMA.

Bersedekahlah kepada orang lain lebih daripada yang mereka perlukan dan lakukanlah dengan penuh kerelaan.


KEDUA.

Kahwinilah lelaki / wan ita yang gemar anda berbicara dengannya, kerana kemahiran berbicara antara satu dengan lain akan menjadi lebih penting pabila usia semakin tua.


KETIGA.

Usahlah mempercayai segala perkara yang anda dengari. Berbelanjalah sekadar apa yang ada atau tidurlah seberapa lama yang anda perlu


KEEMPAT .

Apabila kamu berkata, ” Aku Cinta Padamu”, maka tunaikanlah.


KELIMA.

Pabila mengatakan, “Maaf”, tenunglah matanya.


KEENAM.

Bertunanglah sekurang-kurangnya enam bulan sebelum kamu diijabkabulkan.


KETUJUH.
Percayailah cinta pandang pertama.


KELAPAN.

Usah tertawakan impian orang lain. Manusia tanpa impian tidak memiliki apa-apa.


KESEMBILAN.

Cintailah seseorang dengan sepenuh hati dan penuh kasih sayang. Sungguhpun anda akan berasa seolah-olah diri anda tersiksa, tapi percayalah itulah satu-satunya untuk melengkapkan kehidupan ini.


KESEPULUH.

Jika berlaku perselisihan pendapat, bertengkarlah secara aman. Usahlah menyebut nama sesiapa ketika bertengkar.


KESEBELAS.

Usahlah menilai seseorang berdasarkan peribadi keluarga mereka.


KEDUABELAS.

Berbicaralah dengan tenang dan berfikirlah dengan pantas.


KETIGABELAS.

Apabila seseorang bertanyakan satu soalan yang tidak anda gemari, lontarkanlah senyuman dan bertanyalah padanya,”Kenapa anda ingin tahu?”


KEEMPATBELAS.

Ingatlah bahawa setiap cinta dan pencapaian yang besar akan melibatkan pengorbanan dan risiko yang besar.


KELIMABELAS.

Ucaplah “Semoga anda diberkati” apabila mendengar seseorang bersin.


KEENAMBELAS.

Apabila anda kerugian, janganlah jadi kurang ajar.


KETUJUHBELAS.


Berpeganglah kepada tiga R:

1.
Rasa hormat pada diri sendiri;
2.
Rasa hormat kepada orang lain;
3.
Rasa tanggungjawab terhadap semua tindakan anda


KELAPANBELAS.

Usahlah benarkan pertikaian yang sebesar hamamerosakkan sebuah persahabatan yang besar.


KESEMBILANBELAS.

Apabila menyedari bahawa anda telah melakukan kesalahan, usahlah berlengah untuk perbetulkan kesalahan itu.


KEDUAPULUH.

Tersenyumlah ketika menjawab telefon. Pemanggil akan melihatnya daripada suara yang mereka dengar.


KEDUAPULUH SATU

Ada ketikanya anda perlu bersendirian.