Adab Bersahabat

Oktober 11, 2009

Apabila bersahabat, diri sendiri & sahabat harus mempunyai tanggungjawab & punya harapannya sendiri. Antaranya ialah :-

1. Ketahanan bergurau senda, adat bergurau terlebih usik. Pastikan kita & sahabat saling boleh menerima gurauan oleh itu berfikir dahulu sebelum ianya berlaku.

2. Jgn terlalu celupar atau mengkritik, kita sendiri tidak semestinya bagus dan betul.

3. Jgn terlalu mengambil tahu hal peribadi org terdekat dgn sahabat spt tunang, isteri/suaminya atau kaum keluarganya.
4. Perkara sensitif spt gaji, kenaikan pangkat & hutangnya usah ditanya.

5. Pandai menyimpan rahsia terutama hal peribadi spt rumahtangga atau hubungan suami isteri sahabat.
6. Terima kekurangan & keburukan sahabat seadanya. Cuba lihat nilai positifnya dan lihat diri sendiri, diri kita tidak tentunya baik.

7. Bijak menyesuaikan tutur kata dgn emosi sahabat. Jangan cakap mengikut sedap mulut tanpa memikir kesannya kepada sahabat.

8. Berita baik atau berita sedih sahabat, biarlah dia sendiri memberitahu rakan lain walaupun kita sudah mengetahui. Ini tanda kita menghormatinya. Jangan terlalu busy body dengan cerita kehidupan sahabat kita tanpa memikir kesannya kepada sahabat kita.

9. Menghormati hak & kehidupan peribadi sahabat. beri peluang sahabat bersendiri. Jikalau terlalu berdampingan, mungkin menjemukan & kita hanyamenyekat perhubungan dgn insan lain.

10. Jika salah seorg marah, beri peluang dia melepaskan amarah di hati.Jgn dibalas, berdiam & tunggu hingga dia reda & sejuk. Pasti hubungan akan kembali spt biasa. Manusia harus menerima hakikat setiap org ada lautan hati yg pasang surut.

1 1. Sewaktu sahabat sedang marah, elok mendiamkan diri. Jikalau dia mengomel, dengar & angguk. Itu lebih baik dpd membuat komen. Ia boleh memburukkan keadaan.
12. Jangan memburukkan sahabat di hadapan orang lain dan membanggakan diri dengan mengadakan cerita i.e. kekayaan, kecantikkan dan sebagainya. Bangga diri tidak membawa kita ke mana-mana sebaliknya bersyukur dgn apa yang dikurnia oleh Allah s.w.t

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”


Petua berkesan supaya suami ringan tulang

Oktober 10, 2009

Bagi memastikan anda dan pasangan tidak terjebak dalam sindrom ‘suami tak mahu kerja berat takut nanti reput tulang’, maka eloklah dari awal lagi anda ‘mendidik’ suami untuk membantu urusan rumahtangga.

Bagaimana untuk melakukannya? Di bawah disenaraikan cara yang paling halus tetapi berkesan untuk membuatkan suami turun padang membantu anda menangani kerja-kerja di rumah.

Tip 1 – Pastikan suami tidak terlalu penat

Suami adalah ketua keluarga. Dia punya tanggungjawap yang besar untuk menyara keluarga, terutama sekali jika isteri tidak bekerja. Dari awal pagi hingga petang bahkan sampai lewat malam suami mungkin menghabiskan harinya dengan bekerja. Jadi jika anda ingin meminta bantuannya melakukan kerja rumah, anda harus pastikan dia tidak dalam keadaan terlalu penat. Janganlah meminta suami menyidai kain, sebaik saja dia baru pulang dari kerja. Kalau itu yang anda lakukan, bererti anda seorang isteri yang tidak peka dan kurang menghargai peranan suami sebagai pencari nafkah.

Tips 2 – Berikan alasan yang logik

Lelaki adalah manusia yang mementingkan akal fikiran yang logik. Oleh itu, ketepikan emosi anda seperti marah, merajuk, menarik muka, sedih dan sebagainya ketika meminta bantuan daripada suami. Beritahu suami alasan-alasan logik kenapa anda perlu bantuannya dalam menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Contoh alasan logik yang boleh dikemukakan adalan anda terlampau penat, kerja terlalu berat untuk wanita atau ada beberapa tugas di rumah yang menurut anda lebih elok hasilnya jika dilakukan oleh suami.

Tips 3 – Tawarkan suami melakukan tugas ‘berat’

Tugas itu meliputi mencuci kereta, membersihkan bilik air, memotong rumput, membersihkan longkang/saluran air, membaiki barang rosak (seperti sinki dll) dan pekerjaan-pekerjaan lain yang memerlukan tenaga ekstra. Biasanya lelaki cukup suka wanita menghargai tenaganya. Ia akan membuatkan mereka berasa ‘macho’.

Selain itu, tugas yang memerlukan kepakaran lelaki juga dapat dialihkan kepada mereka, seperti membersihkan peti ais, menyapu sawang, mencuci bilah kipas angin, menukar mentol, dan sebagainya. Terangkan bahawa kalau anda yang membuatnya, anda mungkin tersalah langkah kerana lelaki umumnya lebih faham tentang elektrik dan barang elektronik.

Tips 4 – Sentuh perasaannya

Suami anda pasti menyintai anda dan ingin anda bahagia. Cubalah ‘merayu’ suami dengan menyentuh perasaannya. Tapi caranya bukan dengan menyatakan, “Kalau abang sayangkan saya, abang mesti tolong saya buat kerja di dapur” atau menyindir, “Abang sebelum saya bising, baik abang tolong saya”.

Seharusnya anda perlu mempastikan suami faham kenapa anda memerlukan bantuan daripadanya. Misalnya, setelah seharian anda membersihkan seluruh rumah dan memasak di hujung minggu, katakan bahawa anda sedikit penat untuk membereskan meja makan dan pinggan mangkuk setelah makan malam. Kalau caranya tepat dan menyentuh hatinya yang peka, anda akan dapat membuatkan suami terus saja menawarkan diri membantu anda kerana dia menyintai anda.

Tips 5 – Rayu dengan hadiah

Cara ini kadang-kadang berjaya. Hadiah yang boleh anda tawarkan misalnya memasak masakan kesukaannya, melakukan sesuatu yang selama ini anda hindari tapi sebenarnya diinginkan oleh suami, melakukan hobi bersama-sama, hinggalah ‘servis’ ekstra di ranjang malam nanti.

Tips 6 – Jangan mendesak atau mengarah

Suami memang pantang memerima arahan isteri. Seeloknya mulakan dengan perkataan ‘tolong’ dan ucapan ndalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Pasti suami tidak akan menolak permintaan anda.

Tips 7 – Masa yang sesuai

Meminta suami membantu urusan rumahtangga juga memerlukan masa yang tepat. Paling baik adalah ketika suami sedang bersantai dan moodnya elok. Misalnya ketika sedang menonton televisyen, makan bersama atau sebelum tidur.

Tips 8 – Ucapkan terima kasih

Ucapkan terima kasih jika suami mahu membantu anda. Biasanya motivasi ini akan membuatkan suami anda cukup bahagia kerana dapat meringankan beban isteri tercinta. Selain ucapan terima kasih, berikan juga pujian setiap kali suami selesai membantu anda. Dua kalimat ini wajib diucapkan agar dia lebih senang membantu anda di kemudian hari.

Buatlah komitmen dalam hati untuk tidak memulakan pertengkaran dan tidak terpancing dengan emosi. Hindari juga daripada mengomel, membebel, membentak, menyindir dan sebagainya kerana ini akan membuatkan suami semakin keras kepala dan langsung enggan membantu.

Tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggugnjawap isteri sahaja. Sebaik-baiknya, lakukanlah bersama-sama, insya Allah akan bertambah semarak cinta anda.


Mahu Tapi Malu

Oktober 10, 2009

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang. Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!

Namun, jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya.

Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.

Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.

Dalam proses itu Nurfaisah mulu-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya. Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah.

Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.

Kesimpulannya, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.

Wallahu’alam.


Panduan dan amalan bagi orang yang bertaubat

Oktober 5, 2009

Oleh : Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun

Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.
Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.
Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.
Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.
Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.
Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma’siat) dengan membaca:
“Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku.”
Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.
Di dalam athar, ada yang menunjukkan bahawa perbuatan dosa, jika diikuti oleh lapan perbuatan baik, maka harapan untuk dimaafkan adalah cerah, iaitu empat amalan hati dan empat amalan anggota badan.
Perbuatan yang merupakan amalan hati ialah:
Pertama: Bertaubat atau azam untuk bertaubat;
Kedua: Suka meninggalkan dosa;
Ketiga: Takutkan seksaan ke atas dirinya; dan
Keempat: Mengharapkan keampunan baginya.
Adapun yang merupakan amalan anggota badan ialah:
Pertama: Solat dua rakaat selepas melakukan dosa.
Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata:
“Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wudu dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya, kemudian baginda SAW membaca ayat (Apabila mereka melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka mengingat Allah… dan seterusnya)”.
Dalam riwayat Ibnu Murdawaihi dalam Tafsir dan Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman daripada hadis Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan empat rakaat.
Kedua: selepas solat hendaklah membaca istighfar tujuhpuluh kali, kemudian membaca sebanyak seratus kali:
“Maha Suci Allah Yang Maha Agung dengan segala pujian bagiNya”
Ketiga: bersedekah; dan
Keempat: berpuasa sehari.
Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud r.a. bahawa beliau berkata:
“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah menggauli seorang perempuan di hujung kota Madinah, dan saya telah melakukan terhadapnya selain menyetubuhinya. Inilah saya, hukumlah ke atas diri saya apa yang Tuan hamba kehendaki.
Umar berkata kepadanya: Allah telah menutupi anda, jika anda menutupi diri anda sendiri.
Ia (Abdullah Bin Mas’ud) berkata: Nabi SAW tidak menjawab sesuatu, maka orang itu pun berdiri dan pergi. Nabi SAW menyuruh seseorang mengikutinya dan memanggilnya, dan membacakan kepadanya ayat ini(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan. Yang demikian sebagai ingatan bagi orang-orang yang mahu beringat).
Maka salah seorang telah bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah ini khusus baginya?
Baginda menjawab: “Bahkan bagi semua manusia.”
Tirmizi dan Ahmad meriwayatkan daripada Mu’az Bin Jabal r.a. bahawa beliau berkata:
“Seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, apa kata tuan hamba mengenai seorang lelaki yang telah menemui seorang perempuan yang tidak dikenalinya, kemudian tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya melainkan ia melakukannya terhadapnya, hanya sahaja ia tidak menjimaknya?”
Beliau (Mu’az) berkata: Maka Allah Azza Wa Jalla telah menurunkan ayat yang bermaksud(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan).
Beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Berwudu’lah, kemudian solat. Mu’az berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ia khusus baginya atau bagi kaum mukminin umumnya?”
Baginda bersabda: Bahkan bagi kaum mukminin umumnya”.
Hadis tersebut menunjukkan bahawa menggauli perempuan, selain zina, termasuk dosa kecil yang terhapus oleh amal kebajikan..
Muslim dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Solat yang lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut, selama dihindari dosa-dosa besar”.
Dalam keadaan bagaimanapun seseorang yang bertaubat mestilah menghisab dirinya setiap hari dan berusaha menghapuskan setiap dosa dengan hasanat.
Mengenai istighfar, bukanlah istighfar yang hanya dengan lisan, yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai taubat al-kadzdzabin (taubatnya para pendusta), yang berhajat kepada istighfar yang banyak, sebagaimana dikatakan oleh Rabi’at al-Adawiyah.
Tetapi yang dimaksud adalah istighfar yang disertai kesungguhan hati memohon keampunan kepada Allah SWT dengan merendahkan diri, dengan niat yang ikhlas dan keinginan yang benar.
Istighfar yang demikianlah yang boleh menghapus dosa kejahatan, dan istighfar itu pula yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abi Bakar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tidaklah dianggap sebagai orang yang berketetapan hati untuk terus mengerjakan (ma’siat) orang yang beristighfar, meskipun ia mengulangi dalam sehari tujuh puluh kali.
Tetapi, menurut pandangan Imam Ghazali, istighfar dengan lisan juga merupakan kebaikan, kerana gerakan lisan dengan istighfar, walaupun dengan kelalaian hati,adalah lebih baik daripada gerakan lisan dengan mengumpat atau bercakap lebih, bahkan baik daripada diam.Ia dianggap kurang jika dibandingkan dengan amalan hati.
Ketika seseorang berkata kepada gurunya, Syaikh Abi Uthman Al-Maghrabi: Lidahku sering berzikir dan membaca Qur’an, sedang hatiku dalam keadaan lalai.
Beliau menjawab: Bersyukurlah anda kepada Allah, kerana Allah menggunakan salah satu anggota anda dalam kebaikan dan membiasakannya berzikir, dan tidak menggunakannya dalam keburukan dan tidak membiasakannya dalam bercakap lebih.
Imam Ghazali menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Sesungguhnya membiasakan anggota-anggota badan dalam kebaikan sehingga menjadi seperti tabiat baginya boleh mencegah sejumlah ma’siat.
Orang yang membiasakan lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang maka lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang, maka lidahnya akan segera mengatakan: AstaghfiruLlah.
Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Alangkah bodohnya anda, alangkah buruknya kedustaan anda.
Orang yang membiasakan isti’adzah, apabila diceritakan tentang kemunculan gejala-gejala buruk daripada seorang yang jahat, lidahnya akan segera mengatakan: Na’udzu biLlah.
Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Semoga Allah melaknatnya.
Antara kedua ucapan tersebut terdapat perbezaan. Yang pertama memperoleh kebaikan sebagai kesan membiasakan lidahnya dalam kebaikan, sedang yang kedua sebaliknya.
Mengenai ucapan Rabi’at al-Adawiyah bahawa istighfar kami berhajat kepada istighfar yang banyak, janganlah disangka bahawa beliau mencela gerakan lisan dari segi bahawa ia adalah dzikruLlah, tetapi beliau mencela kelalaian hati, dan kelalaian hati inilah yang berhajat kepada istighfar yang banyak. Kerana, seandainya lidahnya diam, maka ia berhajat kepada lebih banyak istighfar lagi.