Umat ditegah amal kecantikan guna perantaraan jin, syaitan

Umat ditegah amal kecantikan guna perantaraan jin, syaitan

ADA tiga golongan manusia di muka bumi ini mengamalkan perhiasan tubuh dan salah satu daripadanya keterlaluan berbelanja sehingga membawa kepada pembaziran serta kemudaratan.

Selain itu, ada juga yang terlalu kedekut sehingga mereka kelihatan kotor dan selekeh. Manakala golongan ketiga ialah yang bersederhana dalam memperagakan kecantikan tubuh badan mengikut kemampuan.

Nabi SAW ialah hamba Allah SWT yang sentiasa menjaga kebersihan, kecantikan dan penampilan apabila berada di depan khalayak. Ini dikuatkan oleh riwayat daripada Abdullah ibn Masud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga golongan yang di hatinya ada sebesar zarah kesombongan. Lalu seorang lelaki berkata kepada Baginda: Sesungguhnya orang lelaki suka berhias pada pakaian dan seliparnya. Baginda menjawab: Sesungguhnya Allah SWT itu cantik dan amat suka kepada kecantikan. Sesungguhnya sifat angkuh punca seseorang itu tidak boleh menerima kebenaran dan memandang rendah pada orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam Islam, mencantikkan tubuh badan menggunakan pelbagai kaedah kecantikan diharuskan. Ia seperti kaedah yang dipegang ulama iaitu asal bagi setiap sesuatu itu adalah harus sehingga terdapat dalil yang mengharamkannya.

Antara fuqaha mazhab yang menerima kaedah fiqah ini sebagai salah satu prinsip wasatiy dalam penentuan hukum makanan dan kepenggunaan semasa ialah mazhab Shafie, sebahagian fuqaha mazhab Hanafi seperti al-Karkhi, sebahagian fuqaha mazhab Maliki dan Hanbali.

Tetapi, jika kaedah rawatan kecantikan yang digunakan itu ada dalil mengharamkannya, maka kaedah berkenaan ditolak dan dilarang sama sekali digunakan. Perlu diingatkan segala anggota tubuh manusia adalah amanah daripada Allah SWT kepada mereka.

Oleh sebab itu, Islam menggalakkan umatnya menjaga anggota badan sebaiknya sebagai tanda syukur kepada Allah SWT yang Maha Pemberi Nikmat. Islam melarang keras mereka yang cuba menjahanamkan anugerah Ilahi dengan cara yang tidak menepati kehendak syariat.
Atas sebab itu, Islam menolak sekeras-kerasnya sifat segelintir manusia yang berlebihan menghiasi tubuh badan sehingga membawa kepada mengubah ciptaan Allah SWT. Ada menghabiskan ribuan ringgit untuk kelihatan muda, cantik bahkan sanggup memilih untuk memudaratkan diri hanya kerana ingin kelihatan cantik.

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya berpendapat, setiap perkara ingin dilakukan umat Islam mestilah tidak mendatangkan kemudaratan sama ada dalam urusan makanan, minuman, kepenggunaan semasa, permainan, urusan kewangan dan sebagainya.

Jika perbuatan itu mendatangkan kemudaratan kepada pengguna sama ada dari aspek agama, nyawa, akal, nasab dan harta, maka hukumnya haram. Contohnya, memasukkan susuk (jin) dalam tubuh dan muka, menyuntik botox yang diharamkan oleh majlis fatwa kebangsaan dan antarabangsa.

Islam menganggap perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT tanpa sebarang sebab syar’ie adalah haram dan berdosa. Selain itu, ia salah satu strategi syaitan untuk menyesatkan umat Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, aku (syaitan) akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong (mereka), sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternakan), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah SWT. (Ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah SWT, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang lagi nyata.” (Surah al-Nisa’, ayat 119)

Fuqaha menggariskan beberapa syarat bertepatan kehendak syariat Islam dalam menghiasi tubuh badan supaya kelihatan cantik dan menawan antaranya dilakukan dengan niat dan tujuan yang betul dengan tidak melakukan sebarang perubahan di tubuh.

Dilakukan apabila ia menjadi satu keperluan seperti membuang ketumbuhan pada muka atau di bahagian badan yang mencacatkan rupa paras seseorang. Tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada pelaku sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang.

Sebarang pembedahan kosmetik atau usaha mengubah tubuh badan tidak dilakukan tanpa sebarang sebab kesihatan seperti suntikan botox pada bahagian muka dan tubuh badan semata-mata untuk kelihatan cantik dan bergaya.

Dalam keadaan tertentu seperti wanita atau lelaki yang memiliki bulu kening terlalu lebat hingga mencacatkan pandangan orang kepadanya, Imam Malik berkata, perbuatan mencukur bulu kening itu diharuskan jika sudah hampir sama dengan bulu alis beruk yang tebal dan hodoh.

Di samping itu, ulama juga mengharuskan wanita mencukur atau mencabut segala jenis bulu yang tumbuh pada tempat tidak sepatutnya di tubuh atau wajah mereka seperti bulu misai, bulu janggut, bulu dada dan bulu kaki.

Namun, ada juga ulama dan sahabat mengharamkan perbuatan itu dalam semua keadaan antaranya Mu’wiyyah ibn Abi Sufiyan, Aisyah, Asma’ Abu Bakr, Imam al-Bukhari, al-Khattab dan ramai lagi kerana perasaan teruja kepada kecantikan menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan syirik kepada Allah SWT.

Contohnya, memakai susuk jin sama ada berbentuk perak dan emas, menggunakan perkhidmatan bomoh, jin dan syaitan dengan mengamalkan mantera tertentu ditegah oleh Islam kerana boleh merosakkan akidah.

Islam menginginkan umatnya mengamalkan sikap sederhana termasuklah dalam persoalan mencantikkan tubuh badan. Oleh sebab itu, kita diharuskan yang dibenarkan syarak tanpa mengubah ciptaan Allah SWT.

One Response to Umat ditegah amal kecantikan guna perantaraan jin, syaitan

  1. qwertyuiop berkata:

    assalamualaikum..saye ingin meminta sedikit pandangan mengenai hati seseorang yg sukar diubah..saye mempunyai rakan yg pyah untk dinasihati..saye pernah berkate kpd dia,yg saye kerap kali mohon untk dia berubah,tapi dia tdk endahkan ape yg saye ktekan..saye pon terkejut satu hari,saye mrasakan drinya terlalu jauh dgn islam..saye harap dgn soalan sye ini,pmbce yg lbh arif beri tips,atau nasihat

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: