Imam Syafie

Januari 18, 2010

LAWATI FORUM KAMI

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.

Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik. Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau. Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu Sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan
Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha’. Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah.” “Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?” Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah” kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.” “Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu. Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar-Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Dipetik dari laman web darul nu’man


Renungkan Sedalam-dalamnya

Januari 18, 2010

LAWATI FORUM KAMI

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat sembahyang. Allah mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar2 mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di
tgh2 bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar2 membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing2 padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa2 belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak2, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab
kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus2 bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia2nya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. ”

Seorang teman pernah berpesan..

“Kadang2 Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar..
Rupa2nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..” ”

`Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas
kembali. Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.
Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada. Parut yang
lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada…`

Usahlah memandang semua dgn pandangan mata semata-mata, tetapi pandanglah dgn pandangan hati….kita bukan saja dpt melihatNya dimana-mana tetapi dpt merasa rahmat kurniaanNya juga….


Utusan kematian

Januari 12, 2010

JOM MELAWAT FORUM KAMI

Dalam kitab Zahrir Riyadh, diceritakan bahawa Nabi Yaakub alaihissalam bersahabat dengan Malaikat Maut. Suatu hari Yaakub dikunjungi Malaikat Maut. Dia bertanya kepada Malaikat Maut, “Adakah engkau datang untuk menziarahi atau mencabut nyawaku?”

Kata Malaikat Maut, “Untuk berziarah saja.”

Kata Yaakub, “Aku ada permintaan. Apabila ajalku telah dekat dan engkau hendak mencabut nyawaku, hendaklah engkau beritahu aku terlebih dahulu.”

Jawab Malaikat Maut, “Baiklah, aku akan utus dua atau tiga utusan.”

Ketika ajal Yaakub semakin hampir, Malaikat Maut datang kepadanya, lalu ditegur Yaakub, “Adakah engkau datang utnuk berziarah atau mencabut nyawaku?”

“Aku datang untuk mencabut nyawamu!” balas Malaikat Maut.

Yaakub kehairanan dan bertanya, “Bukankah engkau sudah berjanji akan menghantar dua atau tiga utusan terlebih dahulu?”

Malaikat Maut menjawab, “Benar dan aku telah melakukannya. Rambut hitam berubah putih, tubuh kuat berubah lemah, itu adalah utusanku kepada manusia sebelum mereka mati, wahai Yaakub.”


Mabuk Dalam Cinta

Januari 2, 2010

JOM MELAWAT FORUM KAMI

Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka dia pun berkata, “Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut Jarrah cintaku kepada-Nya.”
Berkata Nabi Isa a.s, “Wahai saudaraku, kamu tidak akan terdaya untuk seberat Jarrah itu.”

Berkata pemuda itu lagi, “Wahai Isa a.s, kalau aku tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah untukku setengah berat Jarrah.”

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun berdoa, “Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat Jarrah cintanya kepada-Mu.” Setelah Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.
Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengat penjelasan orang-orang itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, “Wahai Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu.” Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun dapat melihat pemuda itu yang berada di antara gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa a.s, lalu Nabi Isa berkata, “Aku ini Isa a.s.”Kemudian Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, “Wahai Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak mengetahuinya.”

Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia adalah orang yang tertipu.

1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah, tetapi dia mencintai dunia. 2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal, tetapi dia inginmendapat sanjungan dari manusia. 3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan dirinya.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Akan datang waktunya umatku akan mencintai lima lupa kepada yang lima :

1.   Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa kepada akhirat.

2.   Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa kepada hisab.

3.   Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa kepada al-Khaliq.

4.   Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk bertaubat.

5.   Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi mereka lupa kepada kubur.”


Gejala Sosial Fenomena Menakutkan

Januari 1, 2010

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bauan syurga adalah di tangan para belia.”

Rasulullah s.a.w pada zamannya tidak pernah memandang remaja sebagai seorang ´kanak-kanak´ yang tidak mengerti apa-apa dan tidak berkepentingan di dalam perkembangan yang berkaitan dengan hal ehwal negara. Malah Rasulullah s.a.w sangat prihatin akan pembangunan dan pembinaan sahsiah remaja. Baginda sering bergaul dengan mereka sambil memberikan nasihat yang berguna serta tanggungjawab untuk umat dan negara pada masa depan.

Namun, zaman yang bertukar ganti memperlihatkan kehidupan dan kepentingan seorang remaja dilihat tidak lebih daripada seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan masih lagi ´kecil´ untuk mengerti apa-apa hal pun yang berkaitan dengan pentadbiran sesebuah negara.

Remaja kini sering sahaja digambarkan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan senantiasa inginkan kebebasan mengikut perasaan mereka sendiri. Mereka berasakan bahawa mereka sudah bijak untuk menilai baik buruk sesuatu perkara itu tanpa sebarang campur tangan daripada pihak ibu bapa waima sesiapa pun.

Meneliti keadaan sosial golongan remaja kini, pelbagai aspek perlu diteliti mengenai punca sebenar mengapa dan bagaimana terjadinya kebejatan yang semakin menggugat imej remaja itu sendiri. Antara faktor yang mendorong ke arah kerosakan ini adalah persekitaran.

Persekitaran mempengaruhi akhlak individu dalam masyarakat dalam erti kata ia menggalakkan perkembangan aspek tertentu namun pada masa yang sama menghindarkan perkembangan aspek lain. Persekitaran yang mengamalkan pengasingan nilai kerohanian daripada urusan keduniaan dan persekitaran sosial budaya yang bersifat sekular liberal dan materialistik.

Kewujudan pusat-pusat peranginan yang tidak mengikut atau berlawanan dengan budaya Melayu dan agama Islam secara tidak langsung memudaratkan lagi kebejatan sosial di kalangan remaja ini. Percampuran bebas, bercumbuan dan pendedahan aurat yang keterlaluan oleh pelancong-pelancong asing tadi pastinya merupakan suatu perlakuan yang sangat mudah menjadi ikutan para remaja ini.

Budaya hiburan dan ungkapan ´born to be free´ dan ´muda hanya sekali´, sudah sinonim dengan kehidupan remaja kini. Kehidupan hingar-bingar di kota-kota besar kini seakan keperluan asas bagi remaja ini. ´keperluan´ ini pula secara langsungnya, menghidupkan dan menyuburkan lagi kewujudan pusat-pusat hiburan. Malah, akibat daripada ´sokongan padu´ yang ditunjukkan oleh remaja ini merancakkan lagi pusat-pusat hiburan yang berlesen mahupun tanpa lesen ini memanjangkan lagi waktu operasinya sehinggakan ke dinihari.

Selain daripada itu, pemujaan kepada golongan artis oleh golongan remaja kini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Masakan tidak, konsert-konsert bergerak yang dianjurkan seolah-olah telah menjadi satu ´trend´ oleh pelbagai pihak tertentu kini. Malahan ada dikalangkan penganjur melunakkan konsep konsert dengan berselindung di sebalik konsert amal seperti konsert membantu penghidap AIDS, mengisi tabung bantuan Tsunami, gempa bumi, malam anak-anak yatim, malam bersama-sama anak-anak cacat dan seumpamanya. Semua ini dengan alasan kononnya di samping meraih keuntungan besar, mereka dapat beramal dengan mendermakan sebahagian hasil kepada tabung amal tadi.

Masyarakat umumnya dan remaja khasnya boleh dikatakan ketandusan role model yang boleh dijadikan contoh ikutan yang baik (Qudwah Hasanah) sama ada di peringkat individu mahupun di peringkat pucuk kepimpinan. Kita tidak dapat nafikan banyak yang pandai bercakap mengenai kelebihan dan kebaikan cara hidup Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap tetapi berapa ramai yang benar-benar beramal dengannya? Anak-anak muda ini mudah terkeliru dan sering tercari-cari di manakah ´role model´ yang perlu mereka ikuti.

Malangnya, dengan mengambil jalan pintas, remaja ini sering mengambil role model yang sering mereka tatap dan ikuti perkembangan hidupnya. Contoh yang mudah ialah kehidupan para artis tidak kira dalam atau luar negara. Ini kerana mereka sering mendapat liputan meluas dalam media-media massa. Oleh itu tidak hairanlah apabila artis-artis ini mendapat tempat dalam masyarakat manakala peranan golongan yang sepatutnya menjadi role model yang terbaik seperti golongan para ulama dan ilmuwan sering dipinggirkan.

Memang tidak dinafikan bahawa peranan media massa banyak memberikan perkembangan dan maklumat kepada masyarakat terutamanya berkaitan dengan hal ehwal semasa, berita dalam negeri hinggalah kepada berita-berita luar negara. Namun, media massa pada hari ini telah disalahgunakan hingga menyebabkan peranan utamanya sebagai agen pengubah tidak berlaku dengan berkesan sehingga banyak perkara-perkara kebejatan berlaku.

Internet sememangnya telah mengubah pemikiran manusia di seluruh dunia. Termasuk yang sedang diubah adalah pemikiran umat Islam. Mungkin berbanding dengan umat lain, penggunaan internet di kalangan umat Islam masih rendah. Akan tetapi golongan kecil orang Islam yang menggunakan internet sudah tentu tidak terlepas daripada pengaruhnya. Apa yang menyebabkan internet begitu berpengaruh berbanding dengan media yang lain adalah sifatnya yang dapat menerobos sempadan negara. Ia sukar disekat, ditapis dan dihalang tidak seperti media massa lain.

Maka dengan itu, bahan-bahan lucah dengan begitu mudah memasuki negara yang selama ini dapat menghalang kemasukannya. Begitu juga dengan bahan-bahan subversif termasuklah tulisan yang bersifat menentang agama.Ini sangat berbahaya kepada masyarakat terutamanya umat Islam. Setakat ini tidak ada negara yang dapat menghalang kemasukan bahan-bahan ini. Begitu juga Malaysia Selama ini kerajaan dapat membendung kemasukan bahan-bahan yang bersifat subversif tetapi melalui internet, kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak.

Selain internet pengaruh media massa seperti televisyen juga merupakan salah satu penyebab berlakunya gejala-gejala sosial. Banyak rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen yang memaparkan adegan-adegan ganas, tahayul dan seks.Ini boleh mendorong masyarakat ke arah berlakunya gejala-gejala yang tidak diingini dan kelakuan yang tidak baik.

Tidak dapat disangkal bahawa media massa dan keterbukaan dalam globalisasi dunia hari ini merupakan antara faktor-faktor penting berlakunya jenayah salah laku remaja secara meluas. Selain daripada media cetak , media elektronik memainkan peranan yang tidak kuran hebatnya dalam mempengaruhi tingkah laku dan sikap anak-anak remaja.

Melalui siaran-siaran radio TV dan tayangan video, para pelajar terdedah kepada gejala yang tidak sihat seperti unsur-unsur ganas dan luar, budaya barat, budaya dadah, tahayul dan seks bebas. Dengan wujudnya suasana sekeliling yang semakin rosak dan iman yang tipis, para remaja mudah terdorong untuk mencuba aksi-aksi ganas dan adegan-adegan yang berahi yang telah mereka tonton melalui TV atau video lucah yang berleluasa di pasaran. Akibatnya mereka terjerumus dengan perhubungan seks bebas, pelacur murahan, homoseksual, lesbian hingga kepada terjadinya sumbang mahram.

Selain itu majalah-majalah berbentuk hiburan juga banyak memberi kesan negatif ke atas kelakuan masyarakat pada hari ini. Banyak majalah yang berada di pasaran hari ini yang memaparkan gambar artis-artis Barat dan memaparkan kelakuan-kelakuan dan gaya hidup mereka yang tidak berpaksikan kepada ajaran agama. Pengaruh budaya Barat ini begitu mudah menyelinap masuk ke dalam kehidupan golongan remaja kita. Kebanyakan golongan remaja, terutamanya orang Melayu sangat mudah terpengaruh dengan budaya ini.

KAEDAH PENYELESAIAN

1. MENGGERAKKAN KOMUNITI

Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama menggembleng tenaga. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah masyarakat berkumpul pada setiap hari, setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya. Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini, sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah. Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya. Apabila mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri.

Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan atau sokongan mana-mana pihak, tetapi ianya adalah untuk manfaat masyarakat keseluruhannya. Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di mana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling dan seterusnya.

2. KEMPEN SOLAT

Sembahyang adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan solat bermakna kita merobohkan tiang agama. Apabila tiang agama itu roboh maka tiadalah sudah pegangan hidup. Dalam Al-Quran disebutkan “Solat itu mencegah daripada pekerjaan keji dan mungkar”. Penyakit masyarakat dan gejala sosial yang disebutkan tadi adalah merupakan perkara keji dan mungkar. Ini menunjukkan di sini betapa solat bukan hanya membentuk peribadi Islam malah ianya membentuk masyarakat serta komuniti Islam. Betapa beratnya suruhan mengerjakan solat ini hinggakan ianya wajib dilakukan dalam apa jua keadaan sekali pun, selagi hati boleh berdetik, selagi mata boleh berkelip, selagi akal kita masih waras sama ada dalam keadaan berdiri, duduk ataupun terbaring. Rasulullah s.a.w mengajar kita agar menyuruh anak-anak kita mendirikan solat sejak dari usia 7 tahun lagi.

Maka kempen solat hendaklah menjadi agenda utama dalam Pelan Tindakan Bersepadu. Kempen solat dalam apa jua keadaan dan masa, kempen solat di masjid dan surau, kempen solat di gedung-gedung perniagaan, kempen solat di tempat kerja malah kempen solat di pusat-pusat peranginan dan rekreasi serta di stadium-stadium. Tidak ketinggalan juga kempen solat semasa perjalanan terutama di musim perayaan baik dalam kereta api ataupun mereka yang membawa kenderaan sendiri. Sekali lagi untuk melancarkan kempen ini, institusi masjid memainkan peranan yang begitu besar untuk menyedarkan orang ramai.

3. KERJASAMA DENGAN AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SUKARELA

Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela telah pun dibentuk sejak sekian lama dalam menangani penyakit masyarakat. Antaranya ialah Agensi Dadah Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Polis Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya. Institusi masjid dan surau haruslah dari masa ke semasa mengadakan kerjasama dengan pihak yang disebutkan tadi dalam menangani penyakit masyarakat.

Dalam menangani masalah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya jalinan kerjasama dan pertukaran maklumat boleh dilakukan dengan pihak PDRM. Dalam menangani kes lepak, ponteng sekolah, penagihan arak dan sebagainya , kerjasama boleh dilakukan dengan Pihak Berkuasa Tempatan dengan memberi maklumat mengenai pusat-pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen, melebihi had masa, penjualan arak tanpa lesen, pengiklanan arak tanpa permit dan seterusnya. Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh memberi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pusat-pusat hiburan, kedai menjual arak, kedai judi dan seterusnya, seperti kewajaran mengadakan kedai-kedai menjual arak serta kedai-kedai judi di kawasan yang majoritinya Islam. Begitu juga dalam menangani masalah penagihan dadah kerjasama antara pihak masjid dan surau boleh diwujudkan dengan Agensi Dadah Kebangsaan.

Jika selama ini masjid dan surau hanya dijadikan tempat penyampaian ceramah atau kuliah agama, mengapa tidak ianya dijadikan tempat menyelesaikan segala permasalahan yang disebutkan tadi selagi ianya menurut apa yang dikehendaki oleh Islam dan tidak melanggar batas-batas syarak.

4. KEMPEN MEMUDAHKAN PERKAHWINAN

Jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah lagi. Islam menyuruh ibu bapa apabila sudah sampai masanya anak-anak mereka berkeinginan untuk berkahwin maka hendaklah ianya disegerakan. Ini adalah untuk menghindari mereka daripada terjebak ke lembah yang hina.

Kemajuan sains dan teknologi dengan dunia tanpa sempadannya menyebabkan anak-anak muda sekarang ini begitu mudah untuk mendapatkan bahan-bahan yang memberahikan nafsu. Apabila pegangan agama semakin luntur dan nafsu dari hari ke sehari semakin memuncak , maka syaitan akan menguasai jiwa mereka. Apabila syaitan sudah menguasai jiwa mereka , dosa-dosa besar sudah menjadi perkara biasa, mulanya hanya naik motor bersama, kemudian tinggal bersama , apabila terlanjur berlakulah pula kes bunuh apabila bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja tanpa perasaan belas kasihan. Yang demikian itu sifat mereka lebih teruk daripada haiwan. Oleh yang demikian masyarakat haruslah diberi pemahaman, bahawa perkahwinan adalah salah satu cara yang disyorkan oleh Islam untuk menangani penyakit masyarakat sekiranya mereka tidak mampu menahan nafsu mereka dengan berpuasa. Dan perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan agar pasangan suami isteri boleh hidup bahagia selepas majlis perkahwinan. Sesuai dengan apa yang diperkatakan, iaitu Islam itu adalah mudah. Sebagai menarik usaha golongan muda-mudi untuk berkahwin beberapa insentif boleh dikemukakan antaranya ialah kemudahan untuk mendapat pekerjaan, kemudahan untuk mendapat rumah kos rendah, sagu hati perkahwinan dan sebagainya.

Pihak masjid, surau serta badan sukarela juga boleh menimbang sekiranya perlu untuk menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

MEMULIHKAN PERANAN INSTITUSI KELUARGA

Kata orang, ‘kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Kalau hendak membina insan biarlah sejak ia masih kecil, kerana anak kecil itu dilahirkan suci ‘umpama kain yang putih’. Ibu bapanyalah yang menjadinya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sememangnyalah anak-anak mudah dibentuk dan akan mengikut suasana dalam keluarga dan persekitarannya.

Anak-anak adalah amanah Allah Subhanahu Wataala yang perlu diberikan perhatian dan dijaga dengan sebaiknya agar mereka menjadi insan kamil, sempurna, berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Pertalian dan hubungan antara anak dan ibu bapa bukan setakat semasa masih hidup di dunia malah sehinggalah ke akhirat, sesuai dengan hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Muslim dan Ahmad bermaksud:

“Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang dapat memberikan manfaat dan anak yang salih yang mendoakan dia.”

Ke arah itu kita hendaklah melaksanakan tanggungjawab sewajarnya dengan berusaha mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni dengan menekankan ciri-ciri positif dalam mengasuh anak-anak. Ada baiknya kita berkongsi beberapa ‘tips’ dalam mendidik dan menjaga anak-anak. Antaranya termasuklah memberikan didikan Islam dalam pengertian sebenar bukannya konsep Islam berasingan daripada kehidupan serta penghayatan yang secukupnya, penjagaan dan pengawasan yang sempurna, pendidikan rohani dan jasmani yang sempurna, mewujudkan kehidupan yang berdisiplin, mendengar, memahami dan berkomunikasi secara matang dan berkesan, sentiasa bersedia memberikan bantuan dan bimbingan dalam menyelesaikan masalah mereka, memberikan perhatian sepenuhnya dari segi fizikal, emosi dan mental serta memberikan kasih sayang yang secukupnya.

Selain dari itu kita hendaklah sentiasa memberikan perhatian terhadap tingkah laku mereka, sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk memantau kemajuan pelajaran dan tingkah laku mereka, sentiasa peka terhadap perasaan mereka, mengenali dan memantau rakan-rakan mereka, tidak terlalu ‘mengongkong’ sehingga menimbulkan kesan negatif, sentiasa menunjukkan minat apabila mereka mengemukakan dan memberikan pandangan, sentiasa bertolak ansur pada perkara-perkara munasabah, mendidik supaya tidak bercakap bohong dan berahsia dengan ibu bapa dan mencegah mereka dari berpakaian menjolok mata dan kurang sopan.

Ibu bapa perlu mengelakkan perbalahan dan perselisihan antara mereka yang boleh mengakibatkan anak-anak terasa tertekan, memendam rasa dan tidak selesa duduk di rumah. Mereka akan keluar mencari hiburan dan ketenangan yang menjurus kepada pergaulan bebas. Dari sanalah berpuncanya segala masalah yang disebutkan.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya dapatlah kita ambil di sini, iaitu semua pihak bertanggung jawab untuk menangani penyakit masyarakat ini. Dari pemimpin negeri ke rakyat jelata, dari pegawai atasan hingga ke pekerja biasa, dari guru besar ke anak murid dan seterusnya. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat. Karenah birokrasi dan perbezaan fahaman politik dan puak haruslah dielakkan dalam melancarkan Pelan Tindakan Bersepadu ini.

sumber