Panduan Cara Menadah Tangan Dan Berdoa Dengan Betul

November 23, 2010

Doa adalah senjata orang mukmin. Pelbagai cara orang menadah tangan ketika berdoa.

Kaedah yang baik dan tampak sopan ketika bermunajat dengan Allah SWT adalah lambang kesungguhan, lambang penuh pengharapan kita kepada Yang Maha Esa.

Pada tapak tangan kita ada banyak lambang kebesaran dan kemuliaan Allah SWT sebenarnya, termasuk 99 nama Allah.

Menurut Ustaz Abdullah Mahmud ;

Kalau perhatikan betul-betul, kita akan nampak urat tangan kanan dan kiri bercantum seakan membentuk sampan.

“Apabila urat tangan itu bertemu ia akan menjadi huruf ‘ba’ . Titik ‘ba’ letak kan di hati kita. Kedudukan titik ‘ba’ lebih rendah dari tangan yang kita tadah.”

Setiap huruf hijaiah di dalam Al-Quran, Allah perintahkan satu malaikat menjaganya. Malaikat yang menjaga huruf ‘ba’ bernama ‘Har Hayaail‘.

Malaikat ini akan mengangkat doa kita terus mengadap Allah SWT tanpa sebarang perantara. Oleh itu berdoalah bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.”

Berikut ini adalah kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul ;

1. Angkat tangan ke paras dada
2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain
3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’
4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.
5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (duduk seperti duduk antara 2 sujud) atau duduk seperti dalam tahiyyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!
6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah (ar-Rozzaq).
7. Doa diakhiri dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hambaNya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah pasti faham. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi SAW (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.
9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga anda sejak dari usia kecil. InsyaAllah ini akan dapat membentuk peribadi baik anak-anak menjadi menjalani kehidupan.

Sumber : Daripada Ustaz Abdullah Mahmud


Gambaran Hari Kiamat

November 18, 2010

Gambaran Hari Qiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.

✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1- Pemimpin yang adil.

2- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

3- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

4- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

5- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.

6- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

7- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.

✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :

ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)

✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

1) Sedekah/amal jariahnya.

2) Doa anak²nya yang soleh.

3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

sumber: Amar Sufi


Petua dari Nabi SAW agar dikurniakan anak

November 18, 2010

Berikut ini saya kongsikan petikan daripada artikel tersebut untuk panduan bersama khususnya kepada mereka yang sukar untuk hamil.

Mengenai pasangan yang tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga, Abu Hanifah meriwayatkan di dalam Musnadnya dari Jabir bin Abdullah r.a. bahawa seorang lelaki pernah datang kepada Nabi s.a.w bertanya:

“Ya Rasulullah! Sudah lama saya menikah, tapi belum dianugerahi seorang anak pun.”

Nabi SAW pun menjawab dengan sabdanya:

“Di mana (keadaan) engkau dengan banyak istighfar dan banyak bersedekah, kerana dua hal ini boleh menganugerahi buah hati (anak).”

Manusia hanya sekadar berusaha, tapi yang menentukan berjaya atau tidak ialah Allah.

Sesungguhnya satu daripada kewajipan akidah seorang Muslim ialah terus berusaha dan berserah diri kepada Allah serta selalu berbaik sangka kepada-Nya. Yakinlah, Allah tidak akan pernah menciptakan satu penyakit yang tidak ada ubatnya.

Mungkin ada diantara kita yang berfikir ;

“Alaahhh, ni petua biasa saja. Takde bukti pun ianya berkesan. Lagipun apa kaitan antara istighfar dan sedekah dengan orang yang nak hamil?”

Kepada yang ada fikir macam tu, ingin saya nyatakan dengan jelas bahawa, setiap apa yang Nabi SAW ajarkan itu pasti tidak sia-sia. Pasti ada hikmah disebaliknya. Dan PASTI ADA KEJAYAAN! Yakinlah.

Walaupun mungkin ia tampak macam petua yang sangat simple, tapi kalau anda amalkan dengan istiqamah dan yakin yang betul, saya pasti, anda akan dapat manfaatNya, insyaAllah.

Yang pentingnya, anda kena amal dengan niat dan yakin yang betul. Serta anda kena amal dengan istiqamah (secara berterusan, bukan sekejap buat, sekejap tak buat).

Jadi, perbanyakkanlah istighfar dan mohon keampunan pada Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

Kemudian, banyakkanlah bersedekah (semata-mata kerana Allah Ta’ala). InsyaAllah, sampai masanya, Allah pasti akan tunaikan hajat murni anda untuk mendapatkan cahaya mata.


Lima kewajipan seorang Muslim

November 18, 2010

PADA satu kesempatan Rasulullah s.a.w. bersabda: Seorang Muslim mempunyai lima kewajipan atas Muslim yang lain, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazahnya ke kuburan, memenuhi undangan dan jika bersin mengucapkan Alhamdulillah.

Ada yang menganggap nasihat-nasihat yang baginda berikan adalah perkara biasa sahaja, padahal jika dikaji dan diselidiki satu-persatu, kita akan mendapati nasihat-nasihat tersebut sangat berfaedah bagi suatu kehidupan bermasyarakat.

1. MENJAWAB SALAM

Jika ada seseorang memberi salam, kadang-kadang begitu sahaja kita menjawabnya dan bahkan ada yang hanya menganggukkan kepala sahaja. Seolah-olah ia merasakan mempunyai martabat yang lebih tinggi dan orang yang memberi salam mempunyai martabat yang lebih rendah.

Rasulullah s.a.w. menjawab salam, bukan sekadar ucapan `wa alaikumus salam’ yang keluar dari mulut baginda tetapi baginda mengucapkannya dalam bentuk doa dengan harapan “semoga orang itu memperoleh keselamatan”, maka Allah s.w.t. akan mengembangkan keselamatan ke atas orang itu dan dengan sendirinya ia akan terpelihara daripada keburukan. Ini kerana orang yang berdoa dengan hati yang benar tidak akan memberi pengaruh yang bertentangan. Dan kalau hal ini direnungkan, maka didapati bahawa dengan ucapan wa alaikumus salam, seseorang tidak akan terfikir untuk melakukan keburukan ke atas orang yang memberi salam kerana jika ia berbuat demikian ia adalah orang munafik.

2. MENZIARAHI ORANG SAKIT

Menjadi kebiasaan kita iaitu menjenguk orang sakit, tetapi tidak seperti kewajipan yang lazim sebagai seorang Muslim melainkan hanya orang-orang besar, orang-orang ternama atau hanya teman-teman rapat sahaja yang diziarahi. Jika hanya orang yang kaya sahaja yang dilawat, itu bererti nasihat baginda tidak dilaksanakan sebagaimana yang sepatutnya. Segala hal yang Rasulullah s.a.w. nasihatkan kepada orang Muslim harus diperhatikan dan dihayati dan tegakkanlah tradisi ini dalam masyarakat di mana pun kita berada. Jangan membiarkan saudara kita yang miskin berada dalam keadaan yang tidak berdaya, apabila kita menziarahi mereka banyak hal-hal lain yang akan kita temui. Selain itu, jangan melawat orang sakit dengan sekadar bertanya khabar sahaja kemudian berlalu. Dengan menjenguk orang sakit itu kita akan mengetahui serba sedikit latar belakang mereka contohnya dari segi makanan, tempat tinggal dan suasana di rumah mereka. Memperhatikan keperluan-keperluan yang lain dan memenuhinya adalah kewajipan kita bersama. Sebab seorang yang miskin jika dibiarkan tanpa tempat bergantung hidup, seolah-olah dia diciptakan hanya untuk menantikan saat kematiannya. Jadi, dalam hal menziarahi orang sakit yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah untuk memperhatikan hak setiap warga masyarakat.

3. MENGIRINGI JENAZAH

Solat Jenazah memang dilaksanakan namun apa yang kita selalu perhatikan ialah apabila orang yang meninggal itu adalah orang besar pasti ramai yang akan datang, tetapi jika orang yang meninggal itu orang biasa, yang tidak ternama, orang jarang kelihatan mengiringi jenazahnya. Cuba perhatikan bagaimana mulianya Rasulullah s.a.w., daripada keperluan orang yang hidup hingga kepada keperluan orang yang mati pun tetap dijelaskan di hadapan kita. Oleh kerana itu jika ada seorang miskin yang meninggal dunia, haknya ada pada diri kita untuk dipenuhi. Jika semasa hidupnya kita tidak sempat memenuhi haknya, maka setelah dia meninggal dunia pun kita dapat memenuhi haknya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Seseorang yang selalu mengabaikan orang yang hidup, dia pun tentu akan mengabaikan orang-orang yang mati.

4. MEMENUHI UNDANGAN

Rasulullah s.a.w. bersabda: Merupakan hak seorang Muslim untuk memenuhi undangan seorang Muslim yang lain. Apalah ertinya kebaikan jika hanya jemputan orang kaya sahaja yang dipenuhi, manakala jemputan orang miskin kita abaikan.

Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda: Jika anda dijemput oleh orang miskin ke rumahnya, janganlah menolak undangan tersebut disebabkan kemiskinannya. Di sini, apabila kita dijemput untuk makan makanan yang ukurannya jauh daripada makanan seharian kita, janganlah terima undangan itu kerana makanan tetapi terimalah undangan itu untuk membesarkan hati orang miskin tersebut.

5. MEMBACA ALHAMDULILLAH KETIKA BERSIN

Sesetengah orang mengatakan Islam mengajarkan hal-hal kecil yang tidak penting. Padahal dalam hal yang kecil itulah justeru terdapat satu kehidupan. Rasulullah s.a.w. bersabda, jika kita bersin, bacalah Alhamdulillah, dan yang mendengarnya harus membaca Yarhamukallah. Berdasarkan penelitian ilmu kedoktoran mengenai bersin, pada umumnya waktu seseorang bersin terdapat suatu zarah/unsur di dalam saluran hidung bergerak ke arah otak, dan jika ia sampai ke otak, ia boleh menimbulkan kemudaratan. Kecepatan daya bersin amat cepat sehingga mencapai ratusan kilometer per jam dan begitu kuatnya sehingga kita tidak dapat menahannya. Oleh sebab itulah apabila bersin kita diingatkan supaya membaca Alhamdulillah- segala puji bagi Allah, dan orang yang mendengar harus membaca Yarhamukallah (semoga Allah mengasihi engkau).

Kita sebagai umat Islam harus berusaha mengamalkan ajaran-ajaran Rasulullah s.a.w. walau sekecil manapun ajaran tersebut pada pandangan orang lain. Kita yakin bahawa semua sunah Rasulullah s.a.w. tidak ada satu pun yang membawa ke arah yang sia-sia.

Sumber: Utusan Malaysia


Kawan di Akhir Zaman

November 18, 2010

Kawan? Siapa yang dikatakan kawan bagi kita? Apa peranan kawan kepada kita?

Bercakap soal kawan, mengingatkan saya tentang sahabat-sahabat saya di alam perjuangan seketika dahulu. Betapa indahnya nilai ukhuwah antara kami yang sehingga kini tiada bandingan. Namun, setiap pertemuan pasti ada perpisahan, biarlah doa pengikat ukhuwah sentiasa bersama walaupun hakikatnya, jasad tidak bersama.

Namun, ada juga duka bersama sahabatku yang tak dapat kutemui walaupun berada di depan mata. Itulah dunia yang kejam bagi diriku. Akhir zaman menyaksikan pelabagi jenis raga manusia. Biarlah hari ini kawan yang menjadi saksi bagi kita sepanjang bersamanya. Hakikatnya, penilaian telah dibuat oleh Yang Maha Kuasa sejak azali lagi…

Beginilah ragam kawan dan sahabat di akhir zaman ini…

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang benar-benar sibuk
Dengan urusan baiki diri nya
Yang ada kini hanya
Sibuk dengan urusan mengumpul dunia
Walau di ketahui dunia ini hanya menipu daya..

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bergelumang dengan majlis ilmu menafaat
Yang sanggup bersusah dan penat
Dalam mengejar dan memahami ilmu menafaat
Yang ada kini hanya lah
Berbangga dengan ijazah yang menjela
Tapi ilmu fardhu Ain nya kosong belaka

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Ahli profesyenal yang bertaqwa
Yang benar-benar meletakan Islam di jiwa
Mengunakan profesyennya sebagai matlamat ke akhirat sana
Yang ada hanya ahli professional yang lalai dan leka
Yang hidup nya lebih barat dari barat
Ibadah dan amal terasa amat berat

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita ketemui
Yang bersilaturrahim kerana tiada kepentingan
Yang berhubung hanya niat bertanya khabar
Yang ada hanya
Yang berkroni untuk mendapat projek yang sedia ada
Bersahabat untuk mendapat laba

Kawan di akhir zaman ini
Payah untuk kita temui
Yang suka berbincang mengenai dosa-dosa sendiri
Yang menghidupkan ilmu yang ada
Yang mensyiarkan Islam pada diri mereka
Yang ada hanyalah
Yang suka berbincang dosa-dosa orang lain
Yang menghidupkan ‘sunnah’ barat
Yang melupakan kehidupan akhirat

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang menjadikan masjid tempat pertemuan
Yang menjadikan program usrah tempat berkenalan
Yang ada hanya
Yang menjadikan komplek tempat membuang umur
Yang menjadikan disko dan pesta sebagai tempat berhibur

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang menjadikan sunnah sebagai hiburan
Menjadikan nasyid nyanyian harian
Menjadikan selawat ucapan kelaziman
Yang ada hanya
Artis di jadikan bahan pujaan
Nyanyian melalaikan dijadikan hiburan
Dianggap moden dan berketrampilan

Kawan di akhir zaman ini
Susah untuk kita temui
Yang senantisa merasai mati itu sangat hampir
Yang senantiasa merasai jelingan Izrail
Menangis cemas mengenangkan saat kematian
Merintih sayu mengenangkan persediaan
Yang ada hanya
Yang panjang angan-angan
Mengumpul dunia kerja seharian
Seolah kematian itu sangat jauh
Seperti alam barzakh itu tidak ditempuh

(p/s : berhati-hati dalam memilih kawan)


Keajaiban Selawat

November 18, 2010

1) Sabda Rasullah SAW : Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda – (HR Muslim.)

2) Allah akan hapuskan dosa2 kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.

3) Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insya Allah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4) Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5) Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

6) Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7) Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8) Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9) Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalam dirinya.

10) Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, Insya Allah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di akhirat.

11) Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12) Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13) Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

14) Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15) Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16) Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17) Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18) Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19) Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20) Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut2, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21) Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22) Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan dihapuskan dosa2 kecil seseorang.

23) Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka- sangka baginya.

24) Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya.

25) Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26) Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27) Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28) Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29) Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – HR Abu Naim.

30) Sabda Nabii SAW: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – HR Thabrani


Berakhlaq baiklah kepada siapa sahaja

November 4, 2010

Assalamualaikum…

Akhlaq yang baik itu adalah kebahagiaan tersendiri, sedangkan akhlaq yang buruk
adalah petaka dan bencana.

Dalam sebuah hadith disebutkan:

Sesungguhnya akhlaq yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat
orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan qiamullail.

Mahukah kalian aku beritahukan kepada kalian tentang siapa di antara kalian yang
paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya denganku kelak pada hari kiamat?
Yakni, orang di antara kalian yang paling baik akhlaknya. (Al-Hadith)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan sesungguhnya kamu (muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang agung. (Al-Qalam:4)

Maka disebutkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka.
Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri
dari sekelilingmu… (Ali-‘Imran:159)

… dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia… (Al-Baqarah:83)

Ummul Mu’minin Aisyah binti Abu Bakar Ash-Shiddiq Radhiyallahu anhuma menjelaskan
sifat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Akhlaqnya (Nabi Muhammad) adalah Al-Quran”

Sesungguhnya akhlaq yang baik dan hati yang lapang adalah merupakan nikmat dunia dan
kegembiraan di kemudian hari bagi siapa saja yang Allah kehendaki untuk menjadi baik.
Sedangkan emosi yang berlebihan, mudah tersinggung dan kemarahan yang meledak-ledak
adalah sebuah petaka yang terus menerus dan azab yang kekal.

Petikan dari Buku Jangan bersedih -Don’t Be sad (setelah kesulitan pasti ada kemudahan)
Karangan: Dr ‘Aidh bin Abullah Al-Qarni, Perterjemah: Noraine Abu


Penemuan Meteorologi dalam Al Quran

November 1, 2010

Tatkala Rasulullah SAW mengorak langkah untuk menyebarkan dakwah secara terbuka, orang-orang musyrikin Quraisy menuduh baginda yang mencipta ayat-ayat Al-Quran. Jika difikirkan secara logik, Rasulullah SAW adalah seorang yang buta huruf.

Tambahan pula, sepanjang hayat baginda menetap di jazirah Arab yang mengalami purata hujan tahunan yang amat rendah. Bagaimanakah baginda tahu-menahu tentang gumpalan awan seperti gunung serta pembentukan ketulan ais akibat proses pengumpulan awan?

Sudah tentu terdapat ‘penyampai’ yang menitip maklumat kepada Rasulullah SAW perihal suasana di atmosfera dan cakerawala. ‘Penyampai’ yang dimaksudkan adalah malaikat Jibrail yang mula membawa wahyu, tanggal 6 Ogos (17 Ramadan) tahun 610 Masihi.

Ini membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah suatu kitab ketinggalan zaman yang perlu diubah mengikut perkembangan semasa kerana pelbagai bidang sains seperti astronomi, kosmologi, oseanografi mahupun zoologi sudah pun termaktub di dalamnya.

Saintis Barat seperti Luke Howard, Francis Beaufort, Cleveland Abbe dan Vilhelm Bjerknes terkial-kial membuat kajian tentang meteorologi sejak 300 tahun lepas, ilmu tersebut sudah pun termaktub dalam Al- Quran sejak 1400 tahun dahulu.

Meteorologi merupakan kajian saintifik tentang atmosfera dan pelbagai proses yang berlaku di dalamnya. Apabila disebut meteorologi, sudah pasti masih ramai yang tidak tahu maksud istilah tersebut berbanding “ramalan cuaca”.

Setelah kajian dilaksanakan oleh stesen kaji cuaca dengan bantuan satelit dan beberapa perkakasan canggih, barulah ramalan cuaca dikeluarkan. Berapakah peratus daripada penonton televisyen yang memberi perhatian terhadap segmen ramalan cuaca yang disiarkan di dalam rancangan televisyen atau radio setiap hari?

Di Malaysia, meteorologi tidak begitu menonjol jika dibandingkan dengan cabang ilmu sains yang lain. Hakikatnya, bertitik tolak dari meteorologi, ia menghasilkan pelbagai kajian sains seperti climatology (kajian tentang iklim), hidrologi, strata vegetasi, botani, zoologi dan biogeografi.

Allah SWT telah mencipta air yang berupaya wujud dalam tiga fasa pada masa yang sama iaitu pepejal, cecair dan gas. Ciri unik ini menghasilkan pelbagai bentuk kehidupan di eko sistem daratan mahupun akuatik. Selain daripada air, parameter seperti keamatan cahaya, suhu, arah pergerakan angin, radiasi elektro magnetik dan tekanan udara turut diambil kira.

Tahukah anda bahawa terdapat beberapa ayat Quran yang memberi gambaran tentang meteorologi? Rujuklah kepada : Surah Al Araaf (7: 57), An Nahl (16: 65), Al Mukminun (23: 18), An-Nur (24: 43), Al Furqaan (25: 48-50), Ar Rum (30: 48), As-Sajdah (32: 27), Fushshilat (41: 39) dan Al Mulk (67: 30).
Kesemua ayat-ayat tersebut adalah di bawah kategori ayat Makiyah kecuali An-Nur (24: 43) merupakan ayat Madaniyah. Surah Ar Rum (30: 48) yang membawa maksud: “Allah, Dialah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun pada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.”

Jika diteliti ayat di atas, terdapat beberapa proses yang berlaku di dalam atmosfera sebelum hujan turun: Awan Bergerak (Dengan Bantuan Angin) –> Awan Membentang –> Awan Bergumpal –> Hujan Turun.

Surah An-Nur (24: 43) yang membawa maksud: Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, kemudian menjadikan bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya dan Allah juga menurunkan (butiran-butiran) ais dari langit, iaitu dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-gunung, maka ditimpakan-Nya butiran ais kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan dipalingkan dari sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Terdapat sedikit perbezaan di antara ayat pertama dan kedua, diringkaskan seperti berikut: Awan Bergerak –> Awan Berkumpul–> Awan Bergumpal/bertindih –> Hujan/butiran Ais Turun.
Surah Ar-Rum (30: 48) menggambarkan tentang klasifikasi awan manakala An-Nur (24: 43) menerangkan tentang proses kerpasan (precipitation).

Ahli-ahli meteorologi telah merumuskan bahawa awan terbahagi kepada dua kategori:
i) Awan membentang: sirus, sirokumulus, altokumulus, altostratus, stratus dan stratokumulus
ii) Awan bergumpal: kumulonimbus, kumulus dan nimbostratus

Awan kumulus tidak bertahan lama. Apabila angin kuat yang mengandungi udara lembap bergerak ke atas, ia akan membentuk awan kumulonimbus yang membawa hujan lebat, petir dan guruh. Awan jenis ini kadangkala mempunyai bahagian atas dan bawah yang leper.

Jika angin bertiup kencang, bahagian atas akan membentuk satu lapisan awan yang dikenali sebagai stratokumulus.Awan stratus terbentuk apabila satu lapisan udara disejukkan pada titik tepu. Selain daripada kumulonimbus, nimbostratus turut ditakuti oleh manusia kerana membawa hujan bagi jangkamasa yang lama. Lantaran itu, ia menyebabkan tanah runtuh, jalan raya merekah serta banjir yang lambat surut.

Kerpasan berlaku ketika titisan air atau hablur ais menjadi cukup berat dalam gumpalan awan dan udara tidak berdaya lagi untuk menghalangnya daripada jatuh ke bumi.

Fenomena ini boleh diklasifikasikan kepada dua kategori:
i) bentuk cecair: hujan dan gerimis
ii) hablur ais: salji, hujan beku (freezing rain), untal ais (ice pellets) dan hujan batu (hail)
Hujan beku adalah air hujan yang akan membeku apabila jatuh ke bumi manakala hujan batu terdiri daripada ketulan ais yang mungkin mencapai saiz bola golf. Yang pasti kedua-dua jenis hujan ini membawa kemusnahan kepada tanaman ladang, menumbangkan pokok, merosakkan pencawang elektrik serta bumbung rumah.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Mukminun (23: 18): Dan Kami turunkan air dari langit menurut suatu ukuran, lalu Kami jadikan air itu menetap di bumi dan sesungguhnya Kami benar berkuasa menghilangkannya.

Ada pihak yang merujuk istilah ‘suatu ukuran’ atau ‘biqadarin’ (Bahasa Arab) kepada air yang meliputi kira-kira 71% daripada permukaan bumi. Tafsiran itu tidak salah dan boleh diterima tetapi ‘biqadarin’ perlu dilihat dari sudut lain iaitu:

1. Saiz (diameter) titisan air hujan dan hablur ais yang turun akibat kerpasan

– Gerimis adalah titisan air yang berdiameter 0.2-0.5 mm, berasal dari awan stratus. Kedudukan stratus yang rendah membatasi titisan air daripada membesar akibat proses perlanggaran sesama sendiri.

– Titisan air hujan berasal dari nimbostratus berukuran berdiameter 1-2 mm sementara titisan dari kumulonimbus berdiameter 3-6 mm.

– Untal ais adalah partikel berwarna putih dalam bentuk kon atau sfera, berdiameter 1-5 mm. Ia terbentuk apabila itisan air dalam awan berada pada suhu -10C (14F) hingga -20C (-4F).

– Hujan batu (hail) terbentuk ketika hujan lebat, diikuti dengan angin kencang. Proses perolakan angin menolak butiran ais ke arah atas, kembali ke lapisan atas dan tengah awan kumulonimbus. Butiran ais menjadi besar setelah bergabung dengan titisan air.

2. Ukuran purata air hujan yang turun di pelbagai tempat
– Di Lembah Amazon dan Lembah Congo, purata hujan tahunan adalah melebihi 250 sm. Di Pulau Madagascar dan Gunung Kilimanjaro, purata hujan tahunan adalah di antara 50 – 100 sm manakala di Gurun Gobi dan Gurun Great Victoria, purata hujan tahunan hanya mencecah 25sm.

Dengan wujudnya pelbagai purata hujan tahunan serata dunia, maka terbentuklah tujuh kumpulan iklim: Tropika Lembap, Kering, Subtropika, Temperat, Boreal, Kutub dan Tanah Tinggi.

Firman Allah dalam Surah as-Sajdah (32: 27): “Dan apakah mereka tidak memerhatikan bahawa Kami menghalau awan yang mengandungi air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu dengan tanaman yang menjadi sumber makanan binatang ternakan dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memerhatikan?”

Ayat di atas menggambarkan satu rantai makanan (food chain) yang ringkas: Air Hujan –> Tumbuh-tumbuhan
(Autotrof) –> Haiwan (Heterotrof)

Autotrof atau pengeluar, membuat makanan sendiri melalui proses fotosintesis. Haiwan tidak boleh menjadi autotrof kerana ia tidak boleh membuat makanan sendiri. Heterotrof yang terdiri daripada herbivor, karnivor dan omnivor memerlukan autotrof untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Semakin tinggi purata hujan tahunan bagi suatu kawasan, maka rantai makanan menjadi lebih kompleks. Dua jenis biogeografi dipilih sebagai perbandingan:

(a) Hutan Amazon dan Kalimantan: berhampiran dengan garis Khatulistiwa (hutan hujan tropika).

Kawasan ini mendapat cahaya matahari sepanjang tahun dan purata hujan tahunan melebihi 250 sm. Oleh itu, kepelbagaian spesies flora dan fauna adalah tinggi, rantai makanan menjadi lebih kompleks, berubah menjadi jaringan makanan. Lebih banyak kitaran biogeokimia berlaku untuk memberi keseimbangan gas dan nutrient, antara organisma dan persekitaran. Misalnya kitaran karbon, kitaran nitrogen, fosforus dan sulfur.

(b) Siberia dan Alaska: berhampiran dengan Kutub Utara (tundra).

Kawasan ini pula memperoleh cahaya matahari enam bulan sekali dan purata hujan tahunan kurang daripada 25 sm. Lantaran itu, kepelbagaian spesies flora dan fauna adalah rendah, rantai makanan adalah ringkas. Semasa musim panas dan lapisan air mencair, beberapa spesies bunga-bunga kecil, rumput dan herba akan kelihatan.

Apa yang jelas, Quran bukannya diturunkan untuk satu umat atau satu abad, tetapi untuk seluruh umat manusia sehingga hari Kiamat kelak. Bagi sesetengah pihak yang menuduh kandungan Quran tidak sesuai diamalkan pada zaman sekarang adalah mereka yang tidak mengkaji Quran secara menyeluruh. Golongan pemikiran cetek dan dangkal ini hanya mengkaji dan mentafsir ayat-ayat yang tertentu sahaja.

– Oleh Mariam Rashid –