Kelebihan memberi salam

Disember 24, 2010

Assalamualaikum warahmatullah…

apa khabar abang-abang,adik-adik dan juga kakak-kakak sekalian…

moga sentiasa dibawah keredhaan,keberkatan dan naungan ALLAH subhanahu wata’ala…
ana akan menceritakan kelebihan memberi salam melalui hadith berikut…

Iblis menangis bila orang memberi salam…

Sabda Nabi: “Orang2 yg mendahului salam terlepas daripada sifat sombong,bongkak dan tinggi diri”

Sabda Rasulullah saw: “Wahai manusia sampaikanlah salam, berikanlah makan dan solatlah diwaktu malam, diwaktu orang-orang lain sedang tidur, maka kamu akan masuk syurga”.

Sabda Rasulullah SAW.:”Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat kamar yang bermacam-macam, semuanya boleh dilihat dari luar isi dalamnya dan dari dalam boleh lihat diluar. Di dalam syurga itu terdapat kenikmatan yang belum pernah dilihat oleh mata, yang belum didengar oleh telinga dan tidak pernah dibayang oleh hati manusia.”

Lalu bertanya pula sahabat: “Ya Rasulullah, untuk siapakah kamar-kamar itu?”

Sabda Rasulullah saw: “Ianya adalah bagi orang yang menyampaikan salam, bagi orang yg memberi makan, bagi orang yg selalu berpuasa, bagi orang yang mengerjakan solat malam ketika orang lain sedang tidur.”

Bertanya para sahabat: “Siapakah yang kuat mengerjakan semua itu ya Rasulullah?

“Sabda Rasulullah saw.:”Akan aku terangkan kepada kamu semua:

1. Barang siapa bertemu dengan saudaranya (semua orang Islam) dan memberikan salam kepadanya, maka sesungguhnya dia telah menyiarkan salam.

2. Barang siapa yang memberi makan ahli keluarga/ anak isterinya hingga kenyang maka sesungguhnya ia telah memberi makan.

3. Barangsiapa berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian dia puasa enam hari dalam bulan syawal (selain 1 Syawal, diharam puasa) bererti dia sudah sentiasa berpuasa sepanjang tahun.

4. Barangsiapa solat Isyak dan solat subuh berjemaah, maka sesungguhnya dia telah mengerjakan solat malam ketika orang lain sedang tidur.

Sabda Rasulullah saw:”Barang siapa yang berbicara sebelum memberi salam, maka janganlah kamu jawab.”

Ibnu Abbas ra berkata: “sesungguhnya Iblis yang terkutuk itu menangis, sewaktu seseorang mukmin itu bersalam dan dia mengeluh: “Aduh celaka, kedua mukmin itu tidak berpisah keduanya melainkan diampuni dosanya”.

Adab memberi dan menjawab salam

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. (an-Nisa’: 86)

Huraian

Islam telah membawa ucapan salam yang tersendiri yang membezakan masyarakat Islam daripada masyarakat yang lain. Ucapan salam ini merupakan antara ciri masyarakat Islam yang sangat unik, menarik dan tersendiri yang tidak akan larut atau hilang dalam ciri-ciri masyarakat yang lain. Perbuatan berbalas-balas salam ini merupakan satu perbuatan yang amat mulia dalam Islam. Ucapan salam yang dilafazkan ketika berjumpa antara sesama muslim sunat hukumnya manakala orang yang menerima salam wajib menjawab salam tersebut.

Islam juga menganjurkan umatnya sentiasa memberi salam ketika bertemu tanpa menetapkan hari atau masa yang khusus untuk memberi salam. Ringkasnya, ucapan salam itu boleh diucapkan pada bila-bila masa sahaja apabila bertemu antara sesama muslim.

Islam juga menyeru umatnya supaya menjawab salam dengan ungkapan yang lebih baik daripada orang yang memberi salam.

Ungkapan yang lebih baik selalunya akan mudah mengikat hati yang keras menjalin persaudaraan yang ikhlas dan mesra ketika mewujudkan perkenalan di antara mereka yang belum kenal dan mengukuhkan lagi hubungan antara mereka yang telah sedia terjalin hubungannya.

Kesimpulan

Islam menganjurkan umatnya memberi salam tatkala bertemu sesama mereka. Perbuatan itu walaupun sunat hukumnya tetapi amat mulia dan besar ganjaran pahalanya berbanding perbuatan menjawab salam yang hukumnya adalah wajib. Islam juga menggalakkan umatnya supaya menjawab ucapan salam dengan ungkapan yang lebih baik dan sempurna.


Teknik Bertengkar Secara Positif

Disember 24, 2010

Rasulullah bersabda, “Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga.”

(Riwayat Anas Bin Malik)
Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’
Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.
Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.”
(Riwayat Ibnu Mas’ud RA)
Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.
Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.
Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.
Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:
1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk mem-betulkan keadaan.

2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.
3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.
4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.
5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.
6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.
7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.
8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.
9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, “Abang rasa sayang tak patut buat macam ni,” berbanding “Ni semua salah engkaulah!”
10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.
11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.
12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.
13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.
14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.
15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.
16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.
17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.
18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.


Haram Percaya Horoskop 40 hari solat tak diterima

Disember 4, 2010

ORANG Islam tidak boleh terpengaruh dengan horoskop walaupun sedikit pun kerana ia boleh menjejaskan akidah. Malahan, mereka yang membacanya tidak kira percaya atau tidak adalah sama perbuatannya dengan berjumpa dengan tukang tilik di mana solat mereka tidak diterima Allah selama 40 hari.

Menurut pensyarah kanan di fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, perkara itu adalah berdasarkan kepada penyelidikannya ke atas ulasan ulama Yusuf al- Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang atau horoskop.

“Ada yang berpendapat boleh membaca dan ada yang kata tidak boleh membaca walaupun sekadar suka-suka. “Ulasan Yusuf al- Qadrawi memberi maksud bahawa perbuatan membaca walaupun hanya suka-suka sama seperti pergi menemui tukang tilik atau tukang ramal.

“Jadi, amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhkan. Nik Salida seterusnya memberitahu, ramai yang membaca ramalan bintang itu sekadar suka-suka tetapi perbuatan itu tetap dipandang salah. Ini kerana katanya, daripada perbuatan suka-suka itulah yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi takjub seterusnya mempercayai apa yang dibaca oleh mereka.

Nik Salida bagaimanapun memberitahu, membaca dengan tujuan untuk mempelajari sama ada halal atau haram, membantah, menjelaskan sesuatu perkara ada perlu dan menjadi wajib untuk tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

Boleh sebabkan syirik – Dr Zahazan

MEMPERCAYAI ramalan bintang atau horoskop jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah. Perkara itu disuarakan oleh pensyarah di Pusat Bahasa Al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysian (UIAM), Dr Zahazan Mohamed yang bersetuju bahawa horoskop tidak boleh dibaca walaupun sekadar untuk bersuka-suka.

“Bintang dijadikan Allah dengan tiga tujuan iaitu menjadi perhiasan di langit, petunjuk kepada ahli musafir atau pengembara dan untuk merejam syaitan. “Sekiranya tujuan bintang itu disalah gunakan, dikhuatiri ia akan membawa kepada perkara-perkara syirik,” kata Dr Zahazan.

Dr Zahazan juga memberitahu perkara itu sudah dibincangkan sebelum ini dan sudah dikeluarkan fatwa mengatakan ramalan bintang itu adalah haram. Namun katanya, perkara itu terus berlaku disebabkan tiada pemantauan yang dibuat secara bersungguh-sungguh dan kesedaran yang secara menyeluruh di kalangan penguat kuasa dan para media itu sendiri.

“Jelas di sini, orang Islam tidak boleh terpengaruh dengan perkara ini walaupun sedikit kerana ia boleh menjejaskan akidah,” tegas Dr Zahazan.


Ketelusan – Asas pembinaan pekerti

Disember 4, 2010

KETELUSAN ialah suatu sikap berterus terang, jujur dan ikhlas daripada diri remaja sendiri terhadap seseorang atau sesuatu. Ketelusan membayangkan apa yang dilihat pada diri remaja, begitulah juga bayangan zahir dan batinnya. Niat remaja, tutur katanya dan tingkah lakunya adalah bayangan apa yang ada di dalam hati supaya ia tidak dilihat sebagai bertentangan, bercanggah atau tidak selari. Pada peringkat remaja lagi sikap telus kena ada supaya apabila dewasa nanti remaja tidak akan jadi manusia pura-pura atau hipokrit.

Konsep telus ini sangat penting bagi seseorang manusia kerana ketelusan membawa kepada sifat ikhlas dan jujur. Ia menyuburkan rasa percaya dan keyakinan orang terhadap remaja. Sering berlaku umpamanya, remaja berbohong dengan ibu bapa, berdusta dengan kawan-kawan, yang dicakapkan tidak serupa dengan apa yang dilakukan. Ia berlaku kadang-kadang atas desakan perasaan rendah-diri atau rasa ego yang tinggi.

Telus

Islam melihat sifat telus ini adalah asas kepada pembinaan pekerti atau peribadi yang baik. Ada peribadi manusia yang bersahsiah dua atau berwatak dua. Di hadapan seseorang ia berwatak lain, di belakangnya jadi lain. Di majlis resmi lain, di belakang majlis resmi lain. Di pejabat lain tetapi di rumah lain. Di depan ketua kelihatan baik, di belakang berlaku sebaliknya. Ia berlaku akibat tidak ada sifat ketelusan yang akhirnya perlakuan seseorang bersifat dua atau dua piawai. Tetapi kalau para remaja menginsafi bahawa Allah mengetahui apa yang kita lakukan, malaikat mencatatkan apa yang kita buat, remaja mempunyai pedoman yang tinggi bahawa apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini, adalah dalam pemerhatian Allah. Oleh itu memiliki sifat yang tidak telus boleh mendorong manusia bersifat munafik, hipokrit, suka berbohong, hilang amanah dan cenderung menyalahgunakan sesuatu.

Ketelusan membawa remaja memiliki peribadi yang tinggi, di hormati dan disegani kerana apabila remaja bercakap benar dengan ibu bapa, guru dan kawan-kawan walau kadang-kadang ia pahit, remaja tidak cuba berpura-pura atau berselindung kerana sesuatu perbuatan yang salah dan sedia mengakui yang baik itu baik dan yang tidak baik itu tidak baik.

Sifat telus ini penting bagi remaja kerana di peringkat remaja, proses pembentukan diri dan watak sedang berlaku. Di peringkat remajalah proses pembinaan identiti diri berjalan. Kalau remaja adalah seorang pelajar, sifat telus boleh membantu remaja menerima ilmu yang baik dan menggunakannya untuk kebaikan. Sekiranya remaja mengakui bahawa ilmu yang diajar adalah sesuatu yang baik, kemudian kebaikan itu tidak dijadikan amalan, remaja sudah menjadi tidak telus pada ilmu. Kalau hal ini terjadi ia bakal membentuk remaja memiliki dua peribadi dan dua watak.

Apabila remaja dewasa nanti, amalan ini akan mengekal dan menjadi sebahagian daripada cara hidup atau gaya hidup. Sebagai pekerja nantinya, amalan tidak telus ini akan berlaku dan ia tidak membantu khidmat kita di tempat kerja. Sebagai ayah atau ibu, nantinya sifat tidak telus menyebabkan imej keibuan atau kebapaan akan jadi cacat. Apabila kita ingin mendidik anak-anak, anak-anak memerhati gelagat dan tingkah laku ibu bapanya. Anak-anak akan akhirnya menyedari ibu bapanya tidak telus. Yang disuruh lain yang dibuatnya lain. Imej seperti ini akan memupuk anak-anaknya membina sifat tidak telus. Akhirnya amalan ketidaktelusan diwarisi. Dan bayangkan sekiranya kita diberi amanah yang tinggi nantinya, sebagai pegawai tinggi, sebagai pensyarah di universiti atau sebagai pemimpin sekiranya sifat telus itu tidak ada, pegawai tidak akan bersifat professional, pensyarah tidak akan menyampaikan ilmu yang benar dan berguna membentuk pemikiran pelajar, dan pemimpin tidak akan berlaku jujur kepada yang dipimpin dan apabila didatangi oleh rakyat ia sering mencari dan memberi dalih.

Berpura-pura

Sifat yang paling dibenci oleh Allah dan Rasul ialah sifat berpura-pura, yang disebut lain dan yang diamalkan lain, lebih-lebih lagi sifat hipokrit atau munafik. Sebab itu sifat utama Rasulullah ialah siddiq atau pun benar. Yang disebut oleh Nabi adalah benar dalam perlakuannya. Yang dinasihat oleh Nabi adalah benar pada amalannya. Yang ditunjukkan oleh Nabi adalah benar pada pekertinya. Contoh seperti Nabi adalah contoh yang terbaik. Daripada contoh yang terbaik menyebabkan timbul rasa yakin dan percaya yang tinggi terhadapnya. Pada hari ini kadang-kadang kita rasa susah untuk mempercayai seseorang, sama ada dari segi cakap mahupun perbuatannya kerana kepura-puraannya terlalu nyata. Semakin payah untuk mencari orang jujur dan ikhlas.

Bagi remaja, sifat ihsan perlu ada. Ihsan bermaksud “Walaupun kita tidak melihat Allah, kita harus merasakan bahawa Allah melihat kita”. Asas ihsan ini penting kerana remaja akan sentiasa merasakan bahawa tidak ada apa dalam niat, perkataan apalagi perbuatan kita yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Sekiranya sifat ihsan ini mendalam dirasakan oleh remaja, insya-Allah remaja akan membina sifat telus pada diri dan pada orang lain. Apalagi sekiranya remaja boleh mengaitkan bahawa bersifat tidak telus boleh membawa kepada dosa. Diri yang berdosa memerlukan keampunan Allah. Bayangkan sekiranya dosa ini terus terhimpun sehingga kita tua akibat ketidak-telusan sudah menjadi amalan dan sebati dengan tabiat kita, bagaimana kita ingin menghadapi Allah nanti.

Kelemahan

Bayangkan juga sekiranya kita tidak telus, kita suka mencari dalih, kita menjadi pura-pura kerana ingin bergaya dan menunjuk-nunjuk, kita sanggup bercakap bohong untuk menutup kelemahan diri, kita sanggup menipu kerana sifat ego yang tinggi dan ia juga berlaku di kalangan remaja atau orang lain, di manakah harapan dalam hidup ini untuk kita bertemu orang ikhlas, orang yang jujur dan orang yang peribadinya dapat dihormati, cakapnya boleh dipercaya dan perbuatannya boleh dicontohi. Sebab itu perlunya sikap telus dan tulus sejak dari kecil lagi hingga ke peringkat remaja, dewasa malah sehingga tua. Sekiranya sifat ini menjadi amalan manusia, amalan jujur, amanah, profesional akan sentiasa menjadi tunggak kehidupan kita.

Ketelusan dalam Islam dikaitkan ikatan kita dengan Allah s.w.t. Akidah, `aqaid atau ikatan yang jelas memantapkan hubungan manusia dengan Pencipta. Para remaja harus dapat merasakan bahawa hubungan menegak dengan Allah merupakan talian ihsan yang terbaik . Ihsan bermaksud dalam melakukan ibadah walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi Allah melihat kita. Sifat ihsan yang tinggi menjadikan remaja telus. Apabila kita ingin melakukan sesuatu kita ingat kepada Allah, tahu akan batasan-batasan yang ditentukan oleh-Nya. Faham akan baik buruk sesuatu. Tahu menilai dosa dan pahala, keadaan ini menjadikan remaja telus. Ketelusan remaja kepada Allah akan mendidik remaja telus kepada orang lain. Sifat ini sangat penting bagi remaja kerana apabila masuk ke alam dewasa nanti, para remaja sudah mempunyai tabiat dan kelaziman yang baik.

Apalagi kalau para remaja bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin, intelektual, saintis, ulama, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain asas ketelusan amat dituntut. Meskipun realiti hidup pada masa ini sangat mencabar, namun tabiat telus perlu ada di kalangan generasi muda Islam. Di antara harga yang terpaksa dibayar akibat wujudnya amalan ketidaktelusan, ialah kita bergantung kepada kepandaian dan kepintaran orang lain. Kita juga sering bersandar kepada kekuatan orang lain. Jalan singkat yang selalu dipilih ialah bersikap mengalah, selalu merasakan diri tidak berupaya dan ikhtiar yang lemah. Akhirnya peluang yang diberikan kepada kita faedahnya lebih dikaut oleh pihak lain.

Cabaran

Lebih-lebih lagi menghadapi cabaran globalisasi yang kuat menghimpit, para remaja perlu ada merit atau kecemerlangan dan mempunyai daya saing yang tinggi. Harus diinsafi bahawa bangsa dan umat yang maju berasaskan merit di mana ketelusan adalah syarat penting yang perlu dipenuhi. Kalau mentaliti remaja sentiasa merasakan bahawa tongkat sakti sentiasa ada untuk tampil menolong, ia menjadikan kita tidak telus menghadapi cabaran yang semakin rumit. Telus di sini bermaksud, kita harus bersedia mengakui bahawa sikap hidup kita mesti berubah, ilmu pengetahuan yang bermanfaat perlu dicari, kemampuan mengimbang antara idealisme dan realiti kena ada, ketangkasan untuk mengatur strategi dan kebijaksanaan untuk melakukan perlu dikuasai, supaya kejayaan kita bukan kerana wujudnya dasar-dasar yang memihak, tetapi kecemerlangan kita ialah disebabkan ketelusan yang tinggi untuk bersaing dan juga menghasilkan yang terbaik.

Oleh PROF DR. SIDEK BABA