Malaikat Maut Melihat Wajah Kita 70 Kali Sehari

Mei 27, 2010

MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab
itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’ saat kematian mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: “Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami
menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah
kamu akan kembali.” (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah
seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya
mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat
kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat
Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di
muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah
seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail:
‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk
mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.'”

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak
sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan
dalam hidup.

Takdirnya esok hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas
di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa
berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan
pengalaman mereka menghadapi saat kematian.

Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau
miskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir
mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak
kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.

Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang
amat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah
(kebajikan).

Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: “Perhatikanlah
tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada
pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya
kembang kempis.

“Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh
dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.”
(Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian ‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai
daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan
menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.

Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan
perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan
kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.”

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran
ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika
hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap
kebajikan pasti akan dibalas.

Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya
tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila telah sampai ajal seseorang
itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam
badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya
sehingga sampai ke lutut.

“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari
lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu
kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke
dada dan kemudiannya mereka keluar.

“Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari
dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang
itu.”

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak
diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang
mendapat kecelakaan dan malapetaka.

Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir,
kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit
berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana
Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka
lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu
juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan.
Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya
berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa
mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat
maut.

Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat
Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.

Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri
daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.

Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam
a.s.

Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang
berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting
perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai
menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat,
tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas
seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan
kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam
(berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya
seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.
Umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda
tertentu.

Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak
mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya
kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya.

Tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap
akan datang tepat pada masanya.

Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada
keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian.

Mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan
diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.
Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga
tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.


Positif hadapi kritikan

Mei 26, 2010

Positif hadapi kritikan.

Bergelar seorang manusia, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada dikritik, dicaci dan dihina. Sedangkan Allah yang Maha Pencipta, Maha Hebat, Maha Pengasih pun dicerca orang yang tidak berakal, inikan pula kita manusia.

Kala meniti kehidupan, kita selalu memberi, memperbaiki, mempengaruhi dan berusaha bangun setelah jatuh dan semua ini tidak terlepas daripada kritikan yang sinis, pedas dan menyakitkan. Dan tidak mustahil diri kita dihina tanpa henti sehinggalah kematian menjemput diri. Ingatlah, orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh. Mereka mungkin marah, sakit hati dan benci atas kebaikan, ilmu, harta dan kejayaan kita. Kita mungkin mendahului mereka dalam apa jua perkara.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad): Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati.” (Surah ali-‘Imran [003], ayat 119)

“….Dan mereka tidak mencela (Allah dan Rasul-Nya), kecuali karena Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan karunia-Nya kepada mereka. Maka jika mereka bertobat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, niscaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pelindung dan tidak (pula) penolong di muka bumi.” (Surah at-Taubah [009], ayat 74)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Apakah tidak menarik hatimu bagaimana Tuhan menghindarkan daripadaku caci maki dan kutukan orang Quraisy? Mereka mencaci maki dan mengutuk orang yang tercela, sedangkan aku orang yang terpuji.” (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada hadis di atas, dapat kita fahami ada dua sifat yang bertentangan iaitu :

1. yang terpuji (mahmudah) dan
2. yang tercela (mazmudah).

Rasulullah SAW adalah manusia yang terpuji. Meskipun ditentang, dimusuhi, mula-mula dengan kata-kata, kemudian dengan makian, penghinaan, ancaman dan akhirnya pembunuhan namun baginda tidak pernah membalas kejahatan tersebut. Baginda tidak pernah marah dan bertindak keras bahkan bersikap tenang dan tidak pernah berputus asa. Nama baginda mencerminkan akhlak baginda yang sekaligus melontar kembali setiap tohmahan dan keburukan yang dilemparkan kepada yang mengutuk itu sendiri iaitu musuh-musuh baginda sama ada dari kaum kafir atau pun dari kalangan kaum munafiqin hingga akhirnya mereka melihat kebenaran yang dibawa baginda dan memeluk Islam.

Bukankah Allah SWT telah memberi peringatan kepada Rasulullah SAW tentang betapa manusia akan lari dan menjauhkan diri sekiranya baginda bersikap keras dan kasar. Sedangkan melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran.

Jadi, berwaspadalah terhadap kritikan dan cemuhan. Kuatkan jiwa untuk mendengar apa yang mereka katakan. Jika hati kita terasa terusik, ini bererti kita membenarkan keinginan mereka untuk mengotori hidup kita. Cara terbaik yang boleh kita lakukan ialah dengan terus menunjukkan akhlak yang baik. Usah merasa tertekan terhadap usaha untuk menjatuhkan kita. Ini kerana setiap kritikan itu hakikatnya merupakan ungkapan penghormatan untuk kita.

Berdiam diri itu lebih baik untuk memadamkan api yang sedang marak.

Renung-renungkan!


Huru Hara Hari Kiamat

Mei 23, 2010

SURAH al-Takwir ini termasuk dalam kategori surah Makkiah. Ia berjumlah 29 ayat dan diturunkan selepas surah al-Masad. Hubungan surah ini dengan surah Abasa yang terdahulu ialah kedua-duanya menceritakan peristiwa hari kiamat dan bala bencananya.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim meriwayatkan hadis daripada sahabat Umar r.a yang mengatakan bahawa: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin melihat hari kiamat yang seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, maka bacalah: Idhashshamsu kuwwirat, idhassama’un fatarat dan idhassama’un shaqqat”.

Firman Allah SWT: Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).

Al-Maraghi berkata: Tanda-tanda datangnya hari Kiamat ialah ketika matahari digulung, cahayanya pudar dan hilang ketika dunia mengalami kehancuran sehingga tidak ada satu pun benda di alam lain yang boleh menggantikan benda-benda itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.

Syed Qutb berkata: Gugurnya bintang dimaksudkan ia kelak akan terjatuh bertaburan dari sistem yang mengikatnya dan akan padam cahayanya. Allah SWT sahaja yang tahu bintang manakah yang akan jatuh bertaburan.

Adakah kumpulan bintang-bintang yang dekat dengan kita atau galaksi yang terdiri dari ratusan juta bintang atau seluruh bintang yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah SWT.

Namun, yang pastinya ada bintang-bintang yang akan gugur bertaburan pada hari kiamat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh berita yang benar ini. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

Al-Maraghi berkata: Sehingga ikatannya terlepas dan terhempas di padang sahara dan terbang dibawa awan di atas kepala.

Firman Allah SWT: Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.

Menurut al-Qurtubi bahawa tidak terurusnya unta bunting pada saat itu hanyalah sebagai perlambangan sahaja. Ini disebabkan pada hari kiamat sudah tidak ditemui unta bunting.

Tuhan menggambarkan huru-hara hari Kiamat bagaikan satu keadaan di mana seseorang berangan-angan mempunyai unta bunting 10 bulan yang nescaya unta itu akan dibiarkan sahaja kerana amat sibuk menjaga urusan dirinya sendiri yang lebih kritikal itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.

Ibn kathir berkata: Dan umat manusia telah mengabaikan unta-unta pilihannya yang sedang bunting serta mengabaikan urusan kebajikannya sedangkan sebelum ini binatang itulah yang disayangi.

Ini kerana mereka disibukkan dengan hal yang lebih utama tanpa memikirkan kewujudan hari kiamat dan peristiwa lain yang akan berlaku.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.

Al-Maraghi berkata: Ia juga bermaksud laut meluap. Perkara ini disebabkan airnya bergelombang bagaikan lautan api kerana di dalam perut bumi terdapat magma yang dapat menggegarkan permukaan bumi.

Pada ketika itu air mendidih dan terus berwap sehingga yang tinggal hanya bara api sahaja. Kajian saintifik telah menetapkan bahawa di perut bumi terdapat gunung-gunung berapi yang selalu bergejolak dan menimbulkan gempa bumi yang hebat boleh menghancurkan dataran bumi dan gunung-ganang di beberapa daerah.

Contohnya gempa bumi yang telah terjadi di Nessina, Itali pada tahun 1909 dan kemudian di Jepun. Dalam beberapa hadis disebutkan: “Bahawa laut itu adalah penutup neraka jahanam”.

Firman Allah SWT: Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.

Iaitu ketika jiwa itu kembali kepada jasadnya ketika memasuki awal kehidupan akhirat. Pendapat ini daripada Ikrimah, al-Dahhak dan al-Sya’bi.

Firman Allah SWT: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah. Ketika inilah Islam datang menyelamatkan umat arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkat darjat manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila surat-surat amal dibentangkan.

Ibn Kathir berkata: Oleh yang demikian, hendaklah seseorang memperhatikan dengan apa dia mengisi lembaran catatannya.

Mujahid berkata: Iaitu ditarik. Sedangkan al-Suddi berkata: Iaitu dibuka dan al-Dahhak mengemukakan: Mengelupas dan kemudian menghilang.

Firman Allah SWT: Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.

Al-Maraghi berkata: Ketika langit sudah terbuka secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi apa yang dikatakan atas dan bawah.

Firman Allah SWT: Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.

Al-Qatadah berkata: Neraka itu dinyalakan oleh murka Allah SWT dan pelbagai kesalahan anak cucu Adam a.s.

Firman Allah SWT: Dan apabila syurga didekatkan.

Al-Dahhak, Abu Malik, al-Qatadah dan al-Rabi’ bin Khaitsam berkata: Iaitu mendekati para penghuninya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

Al-Maraghi berkata: Pada saat seluruh kejadian yang telah diterangkan di atas berlaku, barulah setiap orang mengetahui amalannya yang diterima dan yang ditolak.

Kebanyakan manusia yang sewaktu hidupnya di dunia ini tertipu oleh pujuk rayu syaitan, pada hari kiamat kelak akan mendapati amalan-amalan mereka itu ditolak dan tidak dihargai Allah SWT. Bahkan amalan itu dijauhkan daripada Allah SWT serta dia mendapat kemurkaan-Nya.

Orang yang melakukan amalannya dengan riak untuk dilihat oleh orang ramai, maka amalannya itu hanya dianggap usaha yang sia-sia sahaja dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita wajib memandang perbuatan kita dengan kacamata Islam dan menimbangnya dengan timbangan yang benar. Allah SWT hanya menerima amalan yang lahir daripada hati yang berisi keimanan, penuh cinta dan mengharapkan keredaan-Nya serta melakukan kewajipan-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Semoga kita bertambah keimanan berkenaan dengan hari kiamat dan seterusnya menjadikan kita golongan yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.


Riwayat Asal Kejadian Nabi Adam a.s.

Mei 23, 2010

Pada suatu ketika Allah s.w.t. menitahkan Malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk dijadikan bahan mencipta Adam. Namun ketika tiba di bumi, bumi enggan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, hingga bumi bersumpah, demi Allah ia tidak akan rela sebahagian tanahnya dijadikan Adam. Kerana ia bimbang kelak Adam akan berbuat maksiat kepada Allah.
Lalu Jibril kembali ke hadrat Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar sumpahnya bumi. Kemudian Allah menitahkan malaikat Mikail turun pula ke bumi dengan maksud yang sama, namun setelah mendengar perkataan bumi seperti apa yang dikatakan kepada Jibril, Mikail pun tidak dapat berbuat apa-apa, kembali ke hadrat Allah dengan tangan hampa.
Akhir sekali Allah menyuruh Malaikat Izra’il turun ke bumi untuk mengambil tanah. Kata Allah: “Hai Izra’il engkau kini Aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan bagaimanapun, jangan engkau undur. Katakan bahawa kerjakan atas perintah dan atas nama-Ku.”
Setelah Izra’il tiba di atas bumi, dia berkata: “Hai bumi, ketahuilah kedatanganku ke mari atas perintah Allah dan atas nama Allah. Jika engkau membantuh atas pekerjaanku ini, bererti engkau membantah perintah Allah dan tentunya engkau tidak ingin menjadi makhluk yang durhaka kepada Allah, bukan?”.
Mendengar perkataan Izra’il, maka bumi tidak dapat berkata apa-apa kecuali membiarkan Izra’il mengambil tanahnya dengan tidak banyak reaksi. Setelah Izra’il mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah dia ke hadrat Illahi.
Kata Allah: “Ya Izra’il, pertama engkau yang Aku tugaskan untuk mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak engkau pula yang Aku tugaskan untuk mencabut roh manusia.”
“Jika demikian hamba bimbang yang hamba ini akan jadi dibenci anak Adam kerana pekerjaan hamba ini,” kata Izra’il.
“Tidak,” jawab Allah: “Tidak mereka akan memusuhi engkau. Aku yang mengaturnya. Lalu Aku jadikan sebab-sebab untuk mendatangkan kematian mereka. Sebab terbunuh, sebab terbakar, sebab sakit dan sebagainya.”
Mengikut keterangan para Ulama bahawa tanah-tanah itu adalah seperti berikut:
01. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Muqaddis
02. Tanah Bukit Tursina
03. Tanah Iraq
04. Tanah Aden
05. Telaga Al-Kautsar
06. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
07. Tanah Paris
08. Tanah Khurisan
09. Tanah Babylon
10. Tanah India
11. Tanah Syurga Firdaus
12. Tanah Tha’if
Kata Ibnu Abbas:
* Kepala Adam dari tanah Baitul Muqaddis, kerana di situlah berada otak manusia dan di situlah tempat akal.
* Telinganya dari tanah Bukit Tursina, kerana ia alat pendengar tempat penerima nasihat.
* Dahinya dari Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.
* Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
* Mata dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat untuk menarik perhatian.
* Giginya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat untuk memanis-manis.
* Tangan kanannya dari tanah ka’abah, untuk mencari nafkah dan kerja-kerja sesama manusia.
* Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
* Perutnya dari tanah Khurasan, tempat lapar dan haus.
* Kemaluannya dari tanah Babylon. Di situ tempat sex (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
* Tulang dari tanah Bukit Tursina, alat peneguh tubuh badan.
* Dua kakinya dari tanah India tempat berdiri dan berjalan.
* Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situ tempat iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
* Lidahnya, dari tanah Tha’if tempat mengucap kalimat syahadat, bersyukur dan berdoa kepada Tuhan.


Azab pedih sebagai balasan orang bunuh diri

Mei 23, 2010

Azab pedih sebagai balasan orang bunuh diri
Dijawab oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Manusia diharamkan mencederakan diri sendiri sehingga boleh kehilangan nyawa

Soalan:
KITA dikejutkan beberapa laporan kurang menyenangkan mengenai saudara seagama kita yang membunuh diri. Bolehkah ustaz menjelaskan kesan perbuatan itu dan apakah yang boleh kita sebagai ibu bapa dan remaja lakukan bagi mengelak daripada kejadian sedemikian? Apakah ada sebarang doa yang boleh kita amalkan bagi mengelak perbuatan yang menyebabkan kita terkeluar daripada landasan agama kita?

DRPD: Ana,
Perak

Jawapan:
ISLAM sangat menghargai jiwa manusia. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa ayat 93 iaitu yang bermaksud: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

Juga surah al-Maidah ayat 32 mengenai kisah Qabil membunuh Habil iaitu yang bermaksud: “Dengan sebab demikian (iaitu pembunuhan kejam itulah), Kami sudah tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia sudah membunuh manusia semuanya…”
Begitu juga surah al-Furqan ayat 68 yang bermaksud: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah SWT, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.”

Sehubungan itu, dosa membunuh jiwa termasuk membunuh diri adalah dosa besar yang bakal menerima azab. Seperti firman-Nya dalam surah An-Nisa ayat 29 bermaksud : “Janganlah kamu sekalian membunuh jiwa-jiwamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengasihani kamu.”

Apa pun alasan dan cara membunuh diri seperti meminum racun, gantung diri, terjun tempat tinggi, melukai diri dan seumpamanya hukumnya tetap haram dan pelakunya akan kekal di dalam neraka.

Sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka tangannya akan menusuk besi itu ke perutnya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Barang siapa yang meminum racun untuk membunuh dirinya, maka dia meneguk racun itu di neraka jahanam dan kekal di dalamnya. Dan barang siapa yang menjatuhkan dirinya dari gunung untuk membunuh dirinya di neraka jahanam dan kekal di dalamnya.”

Biasanya orang yang melakukan perkara terkutuk itu disebabkan kecewa atau tidak sanggup menempuh ujian hidup atau seumpamanya. Walau bagaimana berat ujian yang ditimpa, sebagai seorang yang beriman hendaklah menghadapinya dengan sabar. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah SWT) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat…”

Begitu juga surah yang sama ayat 214 bermaksud: “Adakah kamu patut menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang sudah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka sudah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda), dan serangan penyakit, serta digoncang (oleh ancaman bahaya musuh) sehinggalah berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada berserta: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah SWT?” Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah SWT itu dekat (asalkan kamu berpegang teguh kepada agama Allah SWT).”

Sebuah hadis riwayat Muslim, daripada Abu Yahya bin Sinan berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu, kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur, maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya.” Wallahualam.


Doa Seorang Ibu

Mei 22, 2010

Satu hari seorang alim yang sangat takwa kepada Tuhan bermaksud untuk pergi ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin kepada ibunya, ternyata perempuan tua itu sangat keberatan. Menurut ibunya, tunda dahulu keberangkatanmu sampai tahun depan. Ia merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana orang alim itu adalah satu-satunya anak yang hidup dari hasil perkahwinan dengan almarhum suaminya.

Rupanya orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Maka, walaupun tidak mendapat restu dari ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat menuju ke Tanah Haram. Jelas keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha Allah bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah terletak dalam murka orang tua.

Ketika menyaksikan anaknya yang pergi juga, ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh. Dia tidak mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil sambil berlari-lari itu. Dalam marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya tersebut menadahkan kedua tangannya lalu berdoa: “Ya Allah, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah.”

Doa ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana. Sebab di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu terhadap anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga berjalan. Pada sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya, orang alim itu berhenti melepaskan lelah. Menjelang Maghrib dia berangkat ke masjid dan solat sampai Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat dan wirid hingga jauh malam.

Secara kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah seorang penduduk. Orang yang punya rumah terjaga dan bersuara. Tiba-tiba pencuri itu terjatuh kerana terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika terdengar bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya rumah pun memekik-mekik sambil berkata: “pencuri! pencuri.”

Seisi kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut. Orang-orang pun mengejar ke sana. Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah itu.

Salah seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: “Kita sudah mencari di sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun.”

Yang lainnya pula berkata: “Tidak mungkin dia ditelan bumi, aku yakin dia belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke dalam masjid. Berkemungkinan dia bersembunyi di situ.”

Maka orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, di dekat mimbar ada seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya lagi orang itu ditarik keluar. Tiba di halaman masjid, orang tadi sudah terkulai dan pengsan kerana dipukul beramai-ramai.

Penguasa hukum di kota tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang berat kepadanya atas desakan masyarakat yang marah. Maka orang tersebut diikat pada tiang dan dicambuk badannya.

Keputusan dari hakim ini jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim seharusnya menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh menjatuhkan keputusan berdasarkan hawa nafsu. Begitu juga walaupun lelaki itu dituduh menodai kesucian masjid kerana bersembunyi di dalamnya, dengan berpura-pura bersembahyang dan membaca wirid, padahal dia adalah pencuri.

Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan jalannya hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya, orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim dicambuk hingga pengsan. Mereka tidak lagi mematuhi ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap siapa saja, termasuk kepada pencuri yang jahat sekalipun. Darah memercik ke sana ke mari, orang-orang kelihatan semakin puas.

Semakin siang semakin ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri yang terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata: “Inilah hukuman yang setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!” Sambil meludah muka orang alim tersebut.
Orang yang dihukum yang dianggap pencuri ini dengan suara yang tersendat-sendat membuka mulutnya berkata: “Tolong jangan katakan demikian. Lebih baik beritahukanlah kepada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang ingin mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat restu dari orang tua.”

Mendengar ucapan ini, orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan siapakah dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan masyarakat jadi serba salah. Akhirnya mereka terpaksa memberitahukan hal itu kepada hakim.

Setelah hakim itu datang dan tahu duduk perkara yang sebenarnya, maka semua mereka menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang soleh dan ahli ibadah. Cuma belum pernah tahu rupanya. Ibu-ibu yang hadir serta orang tua lainnya ramai yang merasa sedih tidak dapat menahan diri, tapi sudah tidak ada gunanya.

Malamnya, atas permintaan orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya, dihantarkan ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim tersebut akan dihantar, ibunya telah berdoa: “Ya Allah, jika anakku itu telah mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya.”

Begitu selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim itu minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan orang yang mengantarnya itu pergi. Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak ada orang lain, maka orang alim itupun berseru dengan suara yang pilu: “Asalamualaikum.”

Maka terdengarlah suara oang tua yang menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si alim mendangar suara itu:
“Saya adalah musafir yang terlantar. Tolonglah beri saya roti dan air sejuk,” kata orang alim itu menyamar diri.

“Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkan tanganmu melalui celah pintu,” jawab suara tadi dari dalam.

“Maaf, saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana tangan saya terasa letih.”

“Jadi bagaimana caranya?” Si ibu mengeluh kehilangan akal. “Antara kita ada pemisah yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal, dan saya, walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan.”

“Jangan bimbang wahai puan,” kata orang alim tersebut. “Saya tidak akan membuka mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat ke arah puan.”

Mendengar jawapan itu, tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu saja merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu lagi menahan diri. Ia memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak ibu yang derhaka.” Ibunya pun merasa sedih. Dipandangnya orang cacat di mukanya itu lalu ia menjerit ternyata adalah anaknya. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.

Ketika itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada Allah: “Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan oleh godaan iblis dengan nafsu marah.”

Sumber : Darulnuman


41 Kelebihan Wanita

Mei 21, 2010

Kunjungi Forum Kami
Kunjungi Laman Web Terbaru Kami

www.lepakk.com

1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana
sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya
kepada Rasulullah S.A.W. akan hal tersebut, jawab baginda: “Ibu
lebih penyayang daripada bapak dan doa orang yang penyayang tidak
akan sia-sia.”

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada
70 orang lelaki yang soleh.
3. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya,
derajatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah
S.W.T. dan orang yang takutkan Allah S.W.T. akan diharamkan api
neraka ke atas tubuhnya.

4. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan
dari pasar ke rumah)lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya
seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada
anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah-
olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S.

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku
(Rasulullah S.A.W.) di dalam syurga.

6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara
perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan,
lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik
mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya
adalah syurga.

7. Daripada Aisyah r.a. “Barang siapa yang diuji dengan se Suatu
daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada
mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api
neraka.

8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibu bapamu, maka jawablah
panggilan ibumu dahulu.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-
pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana
pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung
di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya
beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan
direkannya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

12. Aisyah r.a. berkata “Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W.,
siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab
baginda, “Suaminya.” “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab
Rasulullah S.A.W. “Ibunya.”

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan,
memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari
pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka
Allah S.W.T. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada
suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka
beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T. mencatatkan
baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya
1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka
Allah S.W.T. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada
jalan Allah S.W.T.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia
daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir (anak) lalu disusui, maka bagi ibu itu
setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman (ibu) tidak tidur dan memelihara anaknya yang
sakit, maka Allah S.W.T. memberinya pahala seperti memerdekakan 70
orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T.

20. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

21. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk dari pada 1,000
lelaki yang jahat.

22. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada
80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

23. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya
(susu badan)akan dapat satu pahala dari pada tiap-tiap titik susu
yang diberikannya.

24. Wanita yang melayani dengan baik suami yang pulang ke rumah di
dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

25. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang
melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan
penuh rahmat.

26. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan
Allah dan kemudian menjaga adab rumah tangganya akan masuk syurga
500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000
malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam
syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat
daripada yakut.

27. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga
anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya
dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala
ibadat.

28. Wanita yang memerah susu binatang dengan “bismillah” akan
didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

29. Wanita yang menguli tepung gandum dengan “bismillah”, Allah akan
berkatkan rezekinya.

30. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala
seperti meyapu lantai di baitullah.

31. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

32. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

33. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan
puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan
satu pahala haji.

34. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia
akan dianggap sebagai mati syahid.

35. Jika wanita melayani suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12
tahun solat.

36. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempo(2½ thn), maka
malaikat-malaikat dilangit akan khabarkan berita bahwa syurga wajib
baginya.

37. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis,
Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

38. Jika wanita memicit/mijat suami tanpa disuruh akan mendapat
pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh
akan mendapat pahala 7 tola perak.

39. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan
memasuki syurga.

40. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat
pahala 80 tahun ibadat.

41. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat,
tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati
auratnya yaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah.