Mereka Yang Enggan Berkahwin

Oktober 10, 2007

Mereka Yang Enggan Berkahwin

Kahwin adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang tidak mahu berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka telah mensia-siakan hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk hambanya-Nya menikmati segala pengurniaan- Nya.

Islam adalah melarang ummahnya hidup membujang – tanpa berkahwin dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari menikmati kesedapan berkelamin dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan diri dari menikmati kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.

Dalam Islam berkahwin adalah merupakan suatu perkara yang digalakkan, kerana dengan perkahwinan itu akan berkembang biak ummah Nabi Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga dan bergembira dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqqas :

“Berkahwinlah kamu Maka sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira dengan sebab banyak ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang – orang Nasrani bertapa – hidup membujang”.

Mereka yang enggan berkahwin, Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. menanyakan tentang ‘ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka merasa bahawa ‘ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat Rasullah s.a.w. adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat “kurang.”

Mereka berkata sesamanya: “Bagaimana ‘ibadat kita? Padahal Baginda adalah orang yang ma’shum – tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. “Maka salah seorang dari mereka itu berkata: “Aku akan sembahyang Tahajjud setiap malam.” Dan seorang yang lain akan berkata:”Aku akan berpuasa sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka.” Dan seorang yang lain lagi berkata: “Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan, dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)” Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:

Kamu semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya, tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang enggan berkahwin (hidup membujang) seumur hidupnya, padahal mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya zahir dan batin, maka bermakna mereka telah mengharamkan sesuatu perkara yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu adalah juga orang yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.

Dalam masalah ini, at-Tabari berkata: “Sahabat Rasulullah s.a.w bernama ‘Uthman bin Maz’un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan, benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan pengharaman tersebut, Allah Ta’ala menurunkan firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al- Ma’iddah:87)

Sehubungan dengan ini, diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas:

Seorang lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya, katanya: ” Bolehkah aku berkasi?” Baginda menjawab dengan sabdanya:

Tidak ada dalam agama kita orang yang berkasi. (Riwayat Tabrani)

Dalam masalah ini, Sa’ad bin Waqqas berkata:

Rasulullah s.a.w. telah melarang sahabatnya ‘Uthman bin Maz’un hidup membujang (tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan ‘Uthman bin Maz’un membujang (tanpa berkahwin), tenteulah kita “harus” berkasi. (Riwayat Bukhari)


Rezeki Jadi Luas Kalau…

Oktober 8, 2007

Assalamualaikum

S aya teringat pesan rakan saya seorang yang berjaya. Katanya: “Kalau kau rasa kau kesempitan rezeki, duit tak cukup, harta rasa tak banyak, masa itulah masa paling sesuai untuk bersedekah.” Dia menyambung “Kalau kau sudah senang setelah sempit, banyakkan lagi sedekah kau itu pada masa tersebut. Nescaya Allah akan meluaskan pintu rezeki”

S aya berpegang pada pesanan ini. Setiap kali saya sempit, bila buka wallet ada rm2 saya sedekahkan rm1. Kalau ada rm40 saya sedekahkan rm10. Kalau ada lebihan saya sedekahkan sedikit. Kalau ada rakan susah nak pinjam duit, saya pinjamkan dengan niat kalau dia bayar alhamdullilah, kalau tak saya anggap saya sedekah. Alhamdullilah, rezeki Allah permudahkan setakat ini dan harapnya pada masa akan datang. Itu juga amalan kawan saya.

P ernah suatu hari rakan saya seorang jurutera baru sahaja accident kereta. Dalam masa yang sama kena saman polis. Lepas tu duit dia hilang. Kena pulak sakit pergi hospital dan keluar beberapa ribu. Saya pesan kat dia, mungkin Allah nak pesan agar dia memberi sedikit harta yang Allah berikan kat dia. Alhamdullilah lepas dia bersedekah, saya nampak kehidupan dia nampak mudah dan rezeki dia nampak luas.

T api kita kena ingat. Rezeki luas tak bermakna akan jadi kaya raya terus. Kadang, bak kata mak saya, rezeki luas nie macam makan seperti biasa, tapi rasa lebih kenyang dan puas.  Gaji seperti biasa, tapi seolah-olah cukup. Dan paling utamanya kadang-kadang bantuan datang dari sumber yang kita sendiri tak sangka.

“Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah (ikhlas). Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup, sedangkan kamu sedikit pun tidak akan dianiaya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 272).

Hadis dari Abu Hurairah yang diriwayatkan Al-Bukhari bahwa seseorang berkata kepada Nabi saw., “Sedekah yang mana yang lebih utama itu?” Nabi bersabda, “Engkau bersedekah dalam keadaan senang (shahih) dan berkeinginan (harish).”

Dalam riwayat Ibnu Hibban dan Hakim dari ‘Uqbah ia mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap orang bernaung di bawah perlindungan sedekahnya hingga ditetapkan hisab (perhitungan) di antara manusia di yaumil akhirat.”

Sekadar utk berpesan. Semoga ada manfaat.

assalamualaikum wrmt


Bagaimana menghilangkan marah

Oktober 8, 2007

“Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ? Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair : “Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata “Barangkali” dan “Kalau”.

Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan ” Inna lillahi wainna lillahi raji’un.”. Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : ” Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas. Belum sempatdaging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais.

Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman ” Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi muali hari ini aku akan membebaskan kamu.” Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim” Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya.

Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya. Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia ” tuan” kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali.

Kita mesti ubati hati kita. Kita kita mesti membuangkan rasa rasa “ketuanan” kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan mujahadatun nafsi. Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :

a) Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

b) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

d) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

e) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz ( A’uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

g) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu keranawudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur

i) Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang”


Buru keistimewaan tujuh golongan di sisi Allah

Oktober 4, 2007

Baginda Rasulullah s.a.w adalah contoh terbaik khususnya dalam menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan dan contoh yang berjaya dalam melaksanakan tuntutan pelbagai jenis ibadat sebagai pengajaran kepada umatnya bagi mendapatkan tempat yang selesa di sisi Allah SWT pada hari kiamat.

Di mana terdapat tujuh jenis golongan manusia yang berjaya mendapat tempat di sisi Allah kerana melakukan amalan berdasarkan ilmu pengetahuan yang diwariskan oleh baginda kepada mereka.

Kejayaan mereka itu untuk beramal dengan amalan-amalan yang baik menurut syarak adalah disebabkan ketekunan mereka untuk bergaul dengan insan-insan yang memiliki budi pekerti yang baik, apatah hubungan yang intim dengan Allah SWT selaku Pencipta seluruh alam.

Perkara ini ada ditegaskan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Tuhannya, sama ada di waktu pagi, tengahari, petang, senja dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu kedua matamu berlaing dari mereka kerana mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu menuruti orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya, kerana sesungguhnya seluruh hidup mereka adalag melampaui batas (agama).”

Itulah jalan bagi memastikan kedudukan iman, pegangan serta kepercayaan terus utuh melalui persahabatan dengan orang-orang yang boleh mengingatkan kita kepada Allah SWT, bukan sekadar itu, malah mencemburui serta memburu tempat di akhirat seperti tujuh golongan yang terselamat daripada ditimpa panas terik matahari sejengkal di atas kepala.

Rasulullah s.a.w ada menegaskan mengenai tujuh golongan tersebut menerusi sabdanya yang bermaksud: “Tujuh golongan dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, remaja (lelaki atau perempuan) yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang digoda oleh seorang perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitiskan air matanya kerana mengingatkan sifat Mulia dan sifat Agung Allah.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Jelas dari apa yang disabdakan oleh baginda dalam hadis tersebut di atas, memberitahu kita bahawa golongan yang disebut itu adalah mereka yang benar-benar melaksanakan tuntutan ajaran agama Islam dalam hidup mereka, justeru mereka dianugerahkan balasan yang baik dari Allah setimpal dengan apa yang telah disumbangkan untuk kebaikan Islam.

Bukan mudah untuk menjadi hamba Allah yang sanggup berkorban demi Allah dalam segenap tuntutan kehidupan, apatah lagi terpaksa berhadapan dengan ujian yang mesti dilalui seperti yang dialami oleh tujuh golongan di atas.

Apatah lagi kepada umat Muhammad masa kini yang tenggelam dalam banyak perkara yang tidak ada hubungan dengan nilai keagamaan, termasuklah gelagat dalam bulan Ramadan dan malam hari raya, mereka memperlihatkan betapa aspek agama perlu dipelihara pada waktu tertentu secara bermusim, sehingga tindakan mereka itu tidak menjadikan mereka mampu untuk menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Golongan yang ketujuh yang disebut oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas iaitu yang mengingati (berzikir) kepada Allah hingga menitiskan air mata bukan mudah untuk ditemui pada zaman ini, kerana manusia pada hari ini tidak memelihara sumber pemakanan yang diambil (hasil pendapatan), tidak mengendahkan pantang larang agama, halal dan haramnya sesuatu yang diperolehinya serta tidak mempedulikan nilai-nilai agama dalam kehidupan mereka, malah Islam dipinggirkan dalam hidup mereka.

Pendekatan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad mengenai nilai air mata

Sehubungan itu, Allah menjelaskan, menerusi ayat 109 surah al-Isra’ yang bermaksud : “Dan mereka menyungkur atas muka mereka sambil menangil dan mereka bertambah khusyuk.”

Itulah sikap dan nilai orang-orang yang beriman sungguh-sungguh kepada Allah SWT, di mana mereka tidak akan mudah mengalirkan air mata melainkan apabila melihat Islam ditekan, diperlakukan dengan sewenang-wenangnya oleh tangan-tangan pengkhianat agama, negara dan bangsa.

Keadaan ini amat berbeza sekali dengan orang Islam hari ini yang tidak peka atau prihatin dengan perkembangan semasa yang melibatkan undang-undang Islam yang masih tidak terlaksana dan mereka tidak sedih apatah lagi mengeluarkan air mata kerananya.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w bersabda: “Seseorang itu tidak akan masuk neraka disebabkan dia menangis kerana takut kepada Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sesungguhnya baginda Rasulullah s.a.w banyak memberi motivasi kepada umatnya dengan kata-kata hikmat (hadisnya) yang mampu mengalirkan air mata bagi golongan yang memiliki hati yang sejahtera daripada amalan syirik, nifaq dan menyanggah hukum Allah SWT, tetapi bagi mereka yang keras hatinya daripada amalan Islam, atau kosong daripada penghayatan agama, walau dibacakan ayat al-Quran kepada mereka, tetap tidak akan berganjak dan terus berada dalam kesesatan.

Allah SWT menegaskan dalam ayat 23 surah az-Zumar (39) maksudnya : “Maka apakah orang-orang yang dibuka Allah hatinya untuk menerima Islam lalu dia mendapat cahaya daripada Tuhannya sama dengan orang keras hati? Maka celakalah bagi mereka yang keras hatinya dari mengingati Allah, sesungguhnya mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Jelas daripada ayat dan hadis di atas, menunjukkan bahawa nilai air mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT diganjari dengan pahala dan menyebabkan si pelakunya akan dimasukkan dalam syurga, begitulah sebaliknya jika seseorang itu yang menangis bukan kerana takut kepada Allah, maka dia akan dimasukkan dalam api neraka, malah air mata yang dialirkan itu akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan selama hidup di dunia, sama ada air mata itu akan menjadi penolonga baginya atau sebaliknya.

Kesan air mata positif yang melayakkan masuk syurga Allah

Para ulama telah menggariskan beberapa pendekatan bagi memperolehi jalan untuk memastikan agar air mata yang mengalir itu adalah disebabkan takut kepada Allah SWT:

1. Bergaul dengan para solihin di kalangan orang-orang alim yang sering mengingatkan diri kepada Allah, serta merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan agama-Nya yang semakin hari semakin tercemar dengan tindakan orang-orang Islam sendiri.

2. Memerhati alam sekeliling ciptaan Allah bagi membangkitkan diri daripada alpa kepada istiqamah dengan Islam dengan merasakan Allah Maha Agung dalam penciptaan-Nya.

3. Sentiasa melakukan muhasabah diri terhadap segenap kesalahan yang pernah dilakukan, ia tidak dapat dikesan melainkan duduk bersama dengan golongan ahli ilmu.

4. Mencari atau menyediakan persekitaran yang baik adalah salah satu kaedah untuk mampu menangis kerana takut kepada Allah.

5. Mencari contoh teladan yang baik lagi solih bagi mencerminkan diri kepadanya.

Sehubungan itu juga, Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah ada menegaskan, bahawa terdapat jenis tangisan yang berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain berdasarkan kefahaman serta penghayatan seseorang itu terhadap agamanya:-

1. Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.

2. Menangis kerana rasa takut.

3. Menangis kerana cinta.

4. Menangis kerana gembira.

5. Menangis kerana menghadapi penderitaan.

6. Menangis kerana terlalu sedih.

7. Menangis kerana terasa hina dan lemah.

8. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

9. Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

10. Menangis orang munafik – pura-pura menangis.

“..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.” (AnNajm:43)

Jika semua perkara di atas dapat dilakukan, nescaya seseorang muslim itu berjaya menemui noktah penting bagi menjamin dirinya untuk terus menangis kerana takut kepada Allah SWT.

Ibadat pada waktu malam

Sesungguhnya waktu malam adalah satu waktu yang disifatkan paling penting dan utama, bukan sahaja ia bersifat hening dan tenang, malah jauh dari sebarang rasa sikap untuk menunjuk-nunjuk ibadat yang dilakukan kepada orang lain.

Justeru peristiwa penting dalam sejarah Islam kebanyakannya berlaku pada waktu malam seperti peristiwa penurunan al-Quran malam al-Qadr, peristiwa penghijrahan baginda Rasulullah dan Abu Bakr, Israk Mikraj dan lain-lain.

Begitulah juga dengan Rasulullah s.a.w yang merupakan hamba maksum yang dijanjikan Allah syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allah kepadanya.

Hadis daripada Ali Said r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w ada bersabda: Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka itu dalam golongan orang yang mengingati Allah lelaki dan perempuan – Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.

Abdullah bin Salam menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau dengar daripada Rasulullah s.a.w. ialah sabdanya: Wahai manusia berilah salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera – Riwayat Tarmizi.

Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih ketenangan.

Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk. – Riwayat Abu Daud. – mks.