Rasullulah pengsan dengar siksaan neraka

Julai 31, 2010

Anas bin Malik RA berkata: “Jibril datang kepada Rasulullah SAW pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Baginda: “Mengapa aku melihat kau berubah muka?”

Jawab Jibril: “Ya Rasulullah SAW, aku datang kepadamu di saat Allah SWT menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui neraka jahanam itu benar, seksa kubur itu benar, dan seksa Allah SWT itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ya Jibril, jelaskan padaku sifat Jahanam.” Jawabnya: “Ya Rasulullah, ketika Allah SWT menjadikan jahanam, maka dinyalakan seribu tahun sehingga merah kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih.

“Kemudian, seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

“Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi, nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya.

“Demi Allah SWT yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat terseksa, nescaya akan terbakar orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya.

“Jahanam itu sangat dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan api.

“Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap2 pintu ada bahagiannya dari lelaki dan perempuan.”

Baginda bertanya lagi: “Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?” Jawab Jibril: “Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas daripada yang lain 70 kali ganda.”

Tanya Rasulullah SAW: “Siapakah penduduk pintu masing2?” Jawab Jibril: “Pintu yang pertama untuk orang munafik dan orang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa AS serta keluarga Firaun sedang namanya al-Hawiyah.

“Pintu kedua tempat orang musyrikin bernama Jahim, pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar, pintu keempat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladha, pintu kelima orang Yahudi bernama Huthomah, pintu keenam tempat orang Nasara bernama Sa’eir.

Kemudian Jibril dalam diam kerana segan pada Rasulullah SAE sehingga ditanya: “Mengapa engkau tidak terangkan penduduk pintu ketujuh?” Jawab Jibril: “Di dalamya orang yang berdosa besar dari umatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat.”

Maka Baginda jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu sehingga Jibril meletakkan kepala Baginda di pangkuannya sehingga sedar kembali.

Sesudah sedar, Baginda bersabda: “Ya Jibril, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang daripada umatku yang akan masuk ke dalam neraka?”

Jawab Jibril: “Ya, iaitu orang yang berdosa besar dari umatmu.” Kemudian Rasulullah SAW menangis, Jibril juga menangis.

Baginda kemudian masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang. Bila sembahyang, Baginda sering menangis dan meminta keampunan kepada Allah.


Kelebihan Bersahur

Julai 31, 2010

BERSAHUR adalah amalan penting pada Ramadan. Bagi mereka yang hanya mengkaji ilmu fikah akan berkata: “Oh, bersahur hukumnya adalah sunat saja.” Andai kata hukum ini dikaitkan dengan hadis sahih, kita akan menyedari betapa pentingnya sahur ini walaupun hukumnya adalah sunat.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah). Melalui hadis ini, amalan bersahur dikaitkan dengan keberkatan dan keberkatan pula membawa makna rahmat, kebaikan serta restu Ilahi.

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air.

Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).

Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.”

Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh).

Zaid ditanya : “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir.

Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi.

BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.

Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil.

Kajian terkini menunjukkan apabila glukosa dalam darah menurun selepas bangun tidur dan keadaan ini berterusan kerana tidak bersarapan pagi, kanak-kanak akan menghadapi masalah memberi tumpuan kepada pelajaran.

Tambahan daripada itu, satu kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001.

Justeru, secara umumnya, mereka yang berpuasa tanpa mengabaikan sahur, tidak akan mendapat kemudaratan daripada puasa mereka berdasarkan kajian itu. Lebih daripada itu, bersahur adalah ibadah kerana ia adalah sunnah dan waktu sahur juga masa yang dipenuhi keberkatan.

Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah, Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu? Bagi mereka yang bertakwa, ada syurga di sisi Tuhan mereka yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal dalamnya. Mereka juga dikurniakan isteri-isteri yang suci serta mendapat keredhaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (Iaitu) orang yang berdoa, Ya Tuhan kami sesungguhnya kami telah beriman, maka ampunilah dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka. (Merekalah) orang yang sabar, yang benar, yang taat, yang menafkahkan hartanya di jalan Allah dan yang memohon ampun pada waktu sahur.” (Surah Ali Imran, ayat 15 hingga 17)


Degilnya Nafsu

Julai 31, 2010

Dalam sebuah kitab karangan ‘Usman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. telah menciptakan akal, maka Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud : “Wahai akal mengadaplah engkau.” Maka akal pun mengadap kehadapan Allah s.w.t., kemudian Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Wahai akal berbaliklah engkau!”, lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud : “Wahai akal! Siapakah aku?”. Lalu akal pun berkata, “Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah.” Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau.” Setelah itu Allah s.w.t. menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : “Wahai nafsu, mengadaplah kamu!”. Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau.” Setelah itu Allah s.w.t. menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Lalu nafsu berkata, “Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau.” Lalu Allah s.w.t. menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu’ selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Siapakah engkau dan siapakah Aku?”. Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, ” Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku.” Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah s.w.t. mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.


Malaikat Kecil – Tapi Ayah, Adakah Manusia Tidak Masuk Neraka Jika Hari Hujan?

Julai 18, 2010

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama. Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat. Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”. Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?” Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” . Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya. Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan. Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka. Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”. Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” . Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” . Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”. Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.” Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat. Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini. Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi. Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka. Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk. Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa.. Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini. Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat. Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3; “…pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”


Ketokohan Umar al-Khattab

Julai 18, 2010

Ketokohan Umar al-Khattab

SEJARAH pemerintahan Khulafaur-Rasyidin penuh dengan pelajaran dan ibrah (iktibar). Para sahabat pada ketika itu, benar-benar mengamalkan hukum-hukum Islam dan menyebarkan syiarnya ke seluruh penjuru dunia.

Zaman mereka adalah sebaik-baik zaman. Merekalah yang mengajarkan al-Quran kepada umat dan meriwayatkan sunnah dan atsar daripada Rasulullah SAW.

Hakikatnya, sejarah mereka adalah harta simpanan yang memelihara pusaka umat Islam berupa pemikiran, budaya, ilmu pengetahuan, perjuangan, gerakan perluasan wilayah dan kaedah berinteraksi dengan bangsa dan umat lain.

Justeru Rasulullah SAW menganjurkan dan menyuruh kita untuk mengikuti sunnah mereka dan berpedoman dengan petunjuk mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur-Rasyidin yang memperoleh petunjuk sesudahku. (riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lantas salah satu tujuan penulisan buku berjudul, Umar bin Khattab: Kepimpinan dan Kewibawaannya oleh pengarangnya, Dr. Ali Muhammad As-Shallabi adalah untuk menghadirkan kembali hari-hari kehidupan yang indah pada zaman lampau dan memberi isyarat kepada generasi sesudahnya bahawa sebuah generasi tidak akan baik pada akhirnya, kecuali pada awalnya juga baik.

Karya besar itu merupakan buah tangan istimewa penulisnya selepas kejayaan beliau menghasilkan buku pertama yang berjudul, Abu Bakar Ash-Shiddiq: Syakhsyiyyatuhu wa Ashruhu yang telah beredar luas di pelbagai toko buku di dunia Arab dan pameran-pameran buku antarabangsa.

Maklum balas hebat serta desakan para pembaca, pendakwah, ulama, pelajar dan masyarakat umum menjadi dorongan dan pemangkin semangat kepada Dr. Ali Muhammad As-Shallabi untuk terus mengkaji pemerintah lain di zaman Khulafaur Rasyidin.

Buku terbitan Pustaka Al-Shafa telah diterjemahkan oleh Muhammad Akhyar LC dan Syahrin Jasah sebagai cetakan pertama untuk tahun ini. Ia dipersembahkan dengan bahasa yang sesuai dengan zaman sekarang.

Buku itu membahaskan tentang keperibadian, kepimpinan dan zaman pemerintahannya. Umar adalah pemerintah kedua dan sahabat yang paling utama setelah Abu Bakar As-Siddiq.

Umar Al-Khattab adalah sebaik-baik orang soleh sesudah para nabi, para rasul dan Abu Bakar. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai Umar dan Abu Bakar: “Ikutilah jejak orang yang datang sesudahku, iaitu Abu Bakar dan Umar.” (riwayat Tirmizi)

Malah terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang keutamaan-keutamaan Umar Al-Khattab. Antaranya; Di antara umat-umat yang hidup sebelum kamu ada orang-orang yang dianugerahi ilham. Jika dalam umatku ada orang yang mendapat ilham, maka beliau adalah Umar. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Rasulullah SAW ada bersabda: Aku pernah bermimpi seolah-olah aku sedang mengambil air dengan timba di sebuah sumur. Abu Bakar datang, kemudian beliau mengambil air, satu atau dua timba. Tetapi air yang ditimbanya tetap kurang (tidak cukup). Semoga Allah mengampuninya. Kemudian Umar datang untuk mengambil air dan air yang ditimbanya melimpah. Sesungguhnya aku belum pernah melihat orang yang genius yang mampu melakukan seperti yang dilakukannya, sehingga orang ramai dapat memenuhi bekal air mereka dan membawa unta-unta mereka pulang ke kandang. (riwayat Muslim)

Begitu juga Amru bin Al-Ash pernah bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling engkau cintai?” Beliau menjawab: “Aisyah”. Amru bertanya: “Dari kalangan lelaki?” Beliau menjawab: “Ayahnya (Abu Bakar)”. Amru bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Beliau menjawab: “Umar bin Khattab”. Kemudian beliau menyebut nama beberapa orang sahabat”. (riwayat Ibnu Hibban)

Kehidupan Umar merupakan lembaran yang cemerlang di dalam sejarah Islam yang menyinari dan mengungguli setiap sejarah. Sejarah Umar ini berupa kemuliaan, kejayaan, ketulusan, perjuangan dan dakwah di jalan Allah.

Buku ini dimulai dengan kisah kehidupan Umar sejak kelahiran hingga wafat, nasab, keluarga, kehidupan di zaman jahiliah, tentang keislaman, hijrah dan tentang pengaruh al-Quran dan kebersamaannya dengan nabi terhadap pendidikan dan keperibadiannya.

Turut dipaparkan adalah peranan Umar dalam pelbagai peperangan, peranannya dalam masyarakat, kisah pemerintahan dan prinsip-prinsip yang dipegang ketika itu.

Begitu juga berkaitan komitmennya dalam mencegah perbuatan menyimpang, kesihatan rakyat, sistem pengawasan pasar dan perniagaan serta perhatiannya dalam mewujudkan tujuan syariat Islam dalam masyarakat.

Boleh dikatakan buku setebal 764 muka surat ini lengkap yang dipecahkan kepada tujuh bab utama seperti: Umar Al-Khattab di Mekah, Pendidikan Nabi Terhadap Umar al-Khattab, Abu Bakar Mencalon Umar Sebagai Penggantinya, Lembaga Kewangan dan Pengadilan Zaman Umar Al-Khattab, Kepandaian Berinteraksi dengan Para Gabenor, Penaklukan Iraq Zaman Umar al-Khattab dan Penaklukan Syam, Mesir dan Libya.

Kesemua bab utama ini mempunyai tajuk kecil yang diakhiri dengan Detik-detik Terakhir Kehidupan Umar.

Pastikan setiap rumah kita memiliki koleksi berharga ini kerana Umar al-Khattab bukan calang-calang orang sehinggakan Rasulullah SAW sendiri pernah berdoa supaya Umar memeluk Islam.

Mengapa Rasulullah sangat mengharapkan keislaman Umar? Sama-samalah kita ikuti buku Amirul Mukminin Umar bin Khattab: Kepimpinan dan Kewibawaannya.


Khalid al-Walid ‘pedang Allah’

Julai 18, 2010

Khalid al-Walid ‘pedang Allah’

PERJANJIAN damai Hudaibiah banyak membuka hati orang-orang kafir untuk memeluk Islam. Antaranya yang memeluk Islam ialah Khalid bin al-Walid. Beliau dahulu adalah pemimpin pasukan Quraisy yang sangat terkemuka. Beliau juga merupakan seorang pahlawan perang yang sangat gagah dan berani. Hampir semua peperangan disertai oleh beliau akan beroleh kemenangan. Selepas memeluk Islam, Rasulullah memberikannya jolokan ‘Saifullah’ iaitu Pedang Allah. Beliau juga telah menakluki negeri Syria. Selepas memeluk Islam, Khalid menjadi pemimpin dalam setiap peperangan. Ini disebabkan beliau bijaksana dan berpengalaman dalam mengatur strategi peperangan. Ketika beliau melihat jumlah pasukan musuh di Muktah yang berlipat ganda ramainya, beliau memasang strategi dengan mengajak pasukannya mundur ke selatan sementara pihak musuh mundur ke utara. Dengan itu, kedua-dua pasukan tidak bertembung dan berada dalam keadaan yang jauh. Keadaan itu menjadikan mereka lebih selamat dalam pasukan daripada meneruskan peperangan yang akan membawa kepada kebinasaan dan kematian. Sementara itu, beliau juga telah menugaskan sebahagian pasukannya yang berada di barisan belakang untuk melancarkan pertembungan dan pergaduhan sebagai taktik seolah-olah pasukan Muslimin sedang mendapatkan bantuan dari Madinah. Taktik yang beliau atur ini ternyata berhasil. Pihak musuh menjadi takut terhadap pasukan Muslimin sehingga sebahagiannya terus berusaha mundur dan tidak meneruskan peperangan. Ketika hendak memeluk Islam, beliau telah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat dikenali oleh semua orang dan pengikut-pengikut baginda juga semakin bertambah. Pernah suatu ketika, baginda dan rombongan baginda dalam perjalanan menuju ke Hudaibiah, pasukan Khalid telah mengekori baginda. Kemudian beliau melihat Rasulullah bersembahyang Zuhur bersama-sama para sahabat baginda. Pada mulanya beliau bercadang hendak menyerang mereka ketika mereka sedang bersembahyang itu, tetapi tiba-tiba tidak tercapai keinginan untuk membuat sedemikian. Khalid terus menunggu sehingga baginda menunaikan solat Asar pula. Tetapi niat itu diketahui oleh Rasulullah, lalu baginda dan para sahabat terpaksa menunaikan solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut dan berjaga-jaga. Terus hati Khalid berasa serba salah dan tidak jadi hendak menghalang Rasulullah. Apabila beliau mengetahui pemergian baginda ke Hudaibiah adalah untuk membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy, terus Khalid bersemangat untuk mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk Islam. Lalu beliau pun segera mengajak kawan-kawannya untuk pergi ke Madinah menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Rasulullah sungguh gembira menyambut kedatangan Khalid dan sahabat-sahabatnya, lalu mengislamkan mereka.


gadis 3gp melayu ?

Julai 5, 2010

Salam,

Saja nak kongsi dengan kawan-kawan. Tajuk ini pernah menjadi carian di google untuk menjejaki blog sillaturahim..

Sungguh pelik ..