Ketokohan Umar al-Khattab

Ketokohan Umar al-Khattab

SEJARAH pemerintahan Khulafaur-Rasyidin penuh dengan pelajaran dan ibrah (iktibar). Para sahabat pada ketika itu, benar-benar mengamalkan hukum-hukum Islam dan menyebarkan syiarnya ke seluruh penjuru dunia.

Zaman mereka adalah sebaik-baik zaman. Merekalah yang mengajarkan al-Quran kepada umat dan meriwayatkan sunnah dan atsar daripada Rasulullah SAW.

Hakikatnya, sejarah mereka adalah harta simpanan yang memelihara pusaka umat Islam berupa pemikiran, budaya, ilmu pengetahuan, perjuangan, gerakan perluasan wilayah dan kaedah berinteraksi dengan bangsa dan umat lain.

Justeru Rasulullah SAW menganjurkan dan menyuruh kita untuk mengikuti sunnah mereka dan berpedoman dengan petunjuk mereka. Sabda Rasulullah yang bermaksud: Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaur-Rasyidin yang memperoleh petunjuk sesudahku. (riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Lantas salah satu tujuan penulisan buku berjudul, Umar bin Khattab: Kepimpinan dan Kewibawaannya oleh pengarangnya, Dr. Ali Muhammad As-Shallabi adalah untuk menghadirkan kembali hari-hari kehidupan yang indah pada zaman lampau dan memberi isyarat kepada generasi sesudahnya bahawa sebuah generasi tidak akan baik pada akhirnya, kecuali pada awalnya juga baik.

Karya besar itu merupakan buah tangan istimewa penulisnya selepas kejayaan beliau menghasilkan buku pertama yang berjudul, Abu Bakar Ash-Shiddiq: Syakhsyiyyatuhu wa Ashruhu yang telah beredar luas di pelbagai toko buku di dunia Arab dan pameran-pameran buku antarabangsa.

Maklum balas hebat serta desakan para pembaca, pendakwah, ulama, pelajar dan masyarakat umum menjadi dorongan dan pemangkin semangat kepada Dr. Ali Muhammad As-Shallabi untuk terus mengkaji pemerintah lain di zaman Khulafaur Rasyidin.

Buku terbitan Pustaka Al-Shafa telah diterjemahkan oleh Muhammad Akhyar LC dan Syahrin Jasah sebagai cetakan pertama untuk tahun ini. Ia dipersembahkan dengan bahasa yang sesuai dengan zaman sekarang.

Buku itu membahaskan tentang keperibadian, kepimpinan dan zaman pemerintahannya. Umar adalah pemerintah kedua dan sahabat yang paling utama setelah Abu Bakar As-Siddiq.

Umar Al-Khattab adalah sebaik-baik orang soleh sesudah para nabi, para rasul dan Abu Bakar. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai Umar dan Abu Bakar: “Ikutilah jejak orang yang datang sesudahku, iaitu Abu Bakar dan Umar.” (riwayat Tirmizi)

Malah terdapat banyak hadis yang menjelaskan tentang keutamaan-keutamaan Umar Al-Khattab. Antaranya; Di antara umat-umat yang hidup sebelum kamu ada orang-orang yang dianugerahi ilham. Jika dalam umatku ada orang yang mendapat ilham, maka beliau adalah Umar. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, Rasulullah SAW ada bersabda: Aku pernah bermimpi seolah-olah aku sedang mengambil air dengan timba di sebuah sumur. Abu Bakar datang, kemudian beliau mengambil air, satu atau dua timba. Tetapi air yang ditimbanya tetap kurang (tidak cukup). Semoga Allah mengampuninya. Kemudian Umar datang untuk mengambil air dan air yang ditimbanya melimpah. Sesungguhnya aku belum pernah melihat orang yang genius yang mampu melakukan seperti yang dilakukannya, sehingga orang ramai dapat memenuhi bekal air mereka dan membawa unta-unta mereka pulang ke kandang. (riwayat Muslim)

Begitu juga Amru bin Al-Ash pernah bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling engkau cintai?” Beliau menjawab: “Aisyah”. Amru bertanya: “Dari kalangan lelaki?” Beliau menjawab: “Ayahnya (Abu Bakar)”. Amru bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Beliau menjawab: “Umar bin Khattab”. Kemudian beliau menyebut nama beberapa orang sahabat”. (riwayat Ibnu Hibban)

Kehidupan Umar merupakan lembaran yang cemerlang di dalam sejarah Islam yang menyinari dan mengungguli setiap sejarah. Sejarah Umar ini berupa kemuliaan, kejayaan, ketulusan, perjuangan dan dakwah di jalan Allah.

Buku ini dimulai dengan kisah kehidupan Umar sejak kelahiran hingga wafat, nasab, keluarga, kehidupan di zaman jahiliah, tentang keislaman, hijrah dan tentang pengaruh al-Quran dan kebersamaannya dengan nabi terhadap pendidikan dan keperibadiannya.

Turut dipaparkan adalah peranan Umar dalam pelbagai peperangan, peranannya dalam masyarakat, kisah pemerintahan dan prinsip-prinsip yang dipegang ketika itu.

Begitu juga berkaitan komitmennya dalam mencegah perbuatan menyimpang, kesihatan rakyat, sistem pengawasan pasar dan perniagaan serta perhatiannya dalam mewujudkan tujuan syariat Islam dalam masyarakat.

Boleh dikatakan buku setebal 764 muka surat ini lengkap yang dipecahkan kepada tujuh bab utama seperti: Umar Al-Khattab di Mekah, Pendidikan Nabi Terhadap Umar al-Khattab, Abu Bakar Mencalon Umar Sebagai Penggantinya, Lembaga Kewangan dan Pengadilan Zaman Umar Al-Khattab, Kepandaian Berinteraksi dengan Para Gabenor, Penaklukan Iraq Zaman Umar al-Khattab dan Penaklukan Syam, Mesir dan Libya.

Kesemua bab utama ini mempunyai tajuk kecil yang diakhiri dengan Detik-detik Terakhir Kehidupan Umar.

Pastikan setiap rumah kita memiliki koleksi berharga ini kerana Umar al-Khattab bukan calang-calang orang sehinggakan Rasulullah SAW sendiri pernah berdoa supaya Umar memeluk Islam.

Mengapa Rasulullah sangat mengharapkan keislaman Umar? Sama-samalah kita ikuti buku Amirul Mukminin Umar bin Khattab: Kepimpinan dan Kewibawaannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: