Rahsia Tipu Muslihat

Ogos 6, 2009

Dalam suatu pertemuan iblis, syaitan dan jin, dikatakan: “Kita tidak dapat melarang kaum muslim ke Masjid”, “Kita tidak dapat melarang mereka membaca Al-Qur’an dan mencari kebenaran”, “Bahkan kita tidak dapat melarang mereka mendekatkan diri dengan Tuhan mereka Allah dan Pembawa risalahNya Muhammad”, “Pada saat mereka melakukan hubungan dengan Allah, maka kekuatan kita akan lumpuh.”

“Oleh sebab itu, biarkanlah mereka pergi ke Masjid; biarkan mereka tetap melakukan kesukaan mereka, TETAPI CURI WAKTU MEREKA , sehingga Mereka tidak lagi punya waktu untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah”.

“Inilah yang akan kita lakukan,” kata iblis. “Alihkan perhatian mereka dari usaha meningkatkan kedekatannya kepada Allah dan awasi terus kegiatannya sepanjang hari!”. “Bagaimana kami melakukannya?” tanya para hadirin yaitu iblis, syaitan, dan jin. Sibukkan mereka dengan hal-hal yang tidak penting dalam kehidupan mereka, dan ciptakan tipudaya untuk menyibukkan fikiran mereka,”

Jawab sang iblis “Rayu mereka agar suka BELANJA, BELANJA DAN BELANJA SERTA BERHUTANG, BERHUTANG DAN BERHUTANG”.

“Pujuk para isteri untuk bekerja di luar rumah sepanjang hari dan para suami bekerja 6 sampai 7 hari dalam seminggu, 10 – 12 jam seminggu, sehingga mereka merasa bahawa hidup ini sangat kosong.” “Jangan biarkan mereka menghabiskan waktu bersama anak-anak mereka.”

“Jika keluarga mereka mulai tidak harmoni, maka mereka akan merasa bahwa rumah bukanlah tempat mereka melepaskan lelah bila pulang dari bekerja”. “Dorong terus cara berfikir seperti itu sehingga mereka tidak merasa adanya ketenangan di rumah.”

“Hasut mereka untuk membunyikan radio atau kaset selama mereka berkenderaan”. “Dorong mereka untuk menonton TV, VCD, CD dan PC di rumah. Sepanjang hari. Bunyikan muzik terus menerus di semua restoran maupun pusat membeli-belah di dunia ini.”

“Hal ini akan mempengaruhi fikiran mereka dan merosak hubungan mereka dengan Allah dan RasulNya”

“Penuhi meja-meja rumah mereka dengan majalah-majalah dan tabloid”. “Sajikan mereka dengan berbagai berita dan gosip selama 24 jam sehari”.

“Serang mereka dengan berbagai iklan-iklan di jalanan”. “Banjiri kotak surat mereka dengan informasi tak berguna, katalog-katalog, undian-undian, tawaran-tawaran dari berbagai macam iklan.

“Muatkan gambaran wanita yang cantik itu adalah yang berbadan langsing dan berkulit mulus di majalah dan TV, untuk menggoda para suami hingga mereka terfikir bahwa PENAMPILAN itu menjadi unsur terpenting, sehingga membuat para suami tidak tertarik lagi pada isteri-isteri mereka”

“Buatlah para isteri menjadi sangat letih pada malam hari, buatlah mereka sering sakit kepala”.

“Jika para isteri tidak memberikan cinta yang diinginkan sang suami, maka akan mulai mencari hiburan di luar”. “Hal inilah yang akan mempercepatkan retaknya sesebuah keluarga”

“Terbitkan buku-buku cerita untuk mengalihkan kesempatan mereka untuk mengajarkan anak-anak mereka akan makna dan kepentingan bersolat.”

“Sibukkan mereka sehingga tidak lagi punya waktu untuk mengkaji bagaimana Allah menciptakan alam semesta. Arahkan mereka ke tempat-tempat hiburan, fitness, konsert2, panggung2 wayang dan pusat2 yang melekakan”

“Buatlah mereka menjadi SIBUK, SIBUK DAN SIBUK.” “Perhatikan, jika mereka jumpa dengan orang soleh, bisikkan gosip-gosip dan percakapan tidak berfaedah, sehingga percakapan mereka tidak mendatangkan apa-apa pahala sebaliknya berbuat dosa semata-mata.

“Isi kehidupan mereka dengan keindahan-keindahan semua yang akan membuat mereka tidak punya waktu untuk mengkaji kebesaran Allah.” “Dan Dengan segera mereka akan merasa bahwa rezeki, kebaikan/kesihatan keluarga adalah merupakan hasil usahanya yang kuat (bukan atas izin Allah).”

PASTI BERHASIL, PASTI BERHASIL.” “RENCANA YANG BAGUS ” Iblis, syaitan dan jin kemudian pergi dengan penuh semangat melakukan tugas MEMBUAT MUSLIMS MENJADI LEBIH SIBUK, LEBIH KELAM KABUT, DAN SENTIASA HURA-HURA”. “Dan hanya ada sedikit waktu saja untuk beribadat kepada Allah maha Pencipta.”

“Tidak lagi punya waktu untuk bersilaturahmi dan saling mengingatkan akan Allah dan RasulNya”. Sekarang pertanyaan saya adalah, “APAKAH RENCANA IBLIS INI AKAN BERHASIL???”

ANDALAH YANG MENENTUKAN!!!


Rasulullah mula berdakwah

Ogos 6, 2009

Rasulullah mula berdakwah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KITA menyebutnya sebagai ‘agama’ atau terkadang ‘igama’ dan ‘ugama’ tetapi semua ini merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Iaitu ‘A’ bererti ‘tidak’ dan ‘Gam’ bererti ‘pergi’, maka ‘agama’ itu bermakna: tidak pergi atau dengan lain perkataan ‘tetap berada di tempat.’

Walaupun berasal daripada perkataan Sanskrit dan kita mempunyai perkataan Deen (Bahasa Arab), tetapi perkataan ‘agama’ itu sangat digunapakai di alam Nusantara atau Alam Melayu ini sebagaimana dalam perbualan harian, antara lain seperti; “Apa agama anda?”, “Kita bangsa Melayu beragama Islam”, “Agama rasmi negara” dan sebagainya lagi.

Namun dalam konteks agama Islam, pemahaman erti ‘agama’ itu tentu sekali berbeza dengan makna agama-agama yang lain.

Namun apabila kita kembali kepada peristiwa turunnya wahyu pertama di Gua Hira’ pada malam Isnin, 17 Ramadan, 13 tahun sebelum Hijrah (6 Ogos 610 M) maka sekali gus ia bermakna pada tarikh itu lahirnya agama Islam.

Iaitu saat dan titik mula kepada seorang pemuda, Nabi Muhammad yang pada usia yang sangat matang iaitu 40 tahun diperintahkan oleh Tuhannya menyampaikan risalah atau agama Allah yang dikenali sebagai Islam itu. Ini sebagaimana maksud firman Allah: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (ali ‘Imran: 19)

Baginda secara rasmi diiktiraf sebagai Pesuruh Allah (Rasul Allah atau Rasulullah) yang antara lain kita mesti perbetulkan sesetengah istilah Barat yang menggelarkan Islam itu sebagai ‘agama Muhammadan’.

Nabi Muhammad bertugas untuk menyebarluaskan agama Allah (Al Islam), bukannya bertugas menyampaikan ajaran-ajarannya sendiri seperti yang diduga dan difahamkan oleh orang Barat.

Baginda tidak membentuk ajaran Islam ini dan kerana itu, tumpuannya bukan Nabi Muhammad tetapi ‘kiblat’nya mestilah Allah dan segala ajaran, perintah dan larangan daripada-Nya.

Agama Islam itu perlu dijelaskan sebagai agama milik Allah yang bererti ‘selamat’. Kita akan selamat selagi kita taat dan patuh kepada Allah dan Rasu-Nya. Islam juga bererti ‘damai’, iaitu kita akan damai dalam agama Islam itu.

Islam itu asal perkataan salima – selamat, salami – taat, silmi – damai dan sullam – meningkatkan darjat.

Mungkin pelbagai pihak memberikan pelbagai tafsiran, pengertian dan makna mengenai agama Islam walaupun secara mudahnya Islam adalah agama benar yang diturunkan oleh Allah, yang disampaikan oleh Nabi Muhammad untuk seluruh umat manusia.

Lalu kita mesti pegang, tidak ada agama selain daripada agama Allah iaitu Islam sebagaimana kita mesti wajib percaya tidak ada nabi (terakhir) selain Nabi Muhammad.

Namun mutakhir ini, perkataan itu telah diperalatkan sebagaimana ada yang mengaku bahawa dia adalah ‘Rasul Melayu’ dan sebagainya.

Malah lebih dahsyat seperti yang berlaku di negara jiran, Indonesia apabila terdapatnya ‘agama’ yang dipimpin oleh seorang perempuan bernama Lia Aminuddin, hendak disamakan dengan ‘Islam’, menggunakan nama Salammullah.

Jika dengan pengetahuan yang sangat cetek dan jahil, tentunya ada yang menganggap bahawa Salammullah itu tidak ada bezanya dengan Islam.

Perhatikan antara ayat yang digunakan oleh Lia: “Syaikh (malaikat Jibrail) menyampaikan perintah Allah supaya kita menggondolkan kepala dan membakar sekujur tubuh kita,” kata Lia yang kononnya bertujuan untuk membersihkan para pengikutnya daripada segala dosa.

“Setelah itu, kita akan lahir kembali sebagai bayi tanpa noda,” katanya. (Jalaluddin Rakhmat – Psikologi Agama, Sebuah Pengantar, 2003)

Maka menjadi tanggungjawab kita supaya Islam itu dikembalikan dan sebagaimana yang didepani oleh Rasulullah. Islam kepada baginda bererti untuk menggantikan agama-agama dan penyembahan-penyembahan karut sebagaimana yang berkurun dilakukan oleh bangsa dan kaumnya sendiri.

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir. (al-Maidah: 67).

Begitupun baginda masih tidak menyedari tugas yang menunggu adalah sangat penting sehinggalah baginda tersentak dengan kekuatan ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah dalam wahyu kedua, surah al-Muddaththir (1-7) itu. Ayat yang memerintahkan supaya baginda membuangkan selimut dan mula bangun untuk menyampaikan ajaran Islam dan memberikan peringatan kepada umat manusia.

Janganlah pula kita menganggap bahawa bangunnya baginda itu sekadar untuk menyahut cabaran daripada Allah, ini kerana menyahut cabaran bererti lazimnya untuk memberi kepentingan kepada diri sendiri.

Tetapi baginda sedar, baginda telah bersedia untuk tugas-tugas tersebut, iaitu di saat:

1) Baginda dalam usia yang dewasa dan matang,

2) Baginda berada dalam keadaan tenang kerana mempunyai isteri dan kaum keluarga yang sentiasa menyokong,

3) Baginda mempunyai hubungan baik atau tidak bermusuhan dengan sesiapa sama ada terhadap kaumnya dan penduduk Mekah.

Namun, atas dasar keyakinan yang teguh ditambah wahyu-wahyu Allah tidak henti-henti turun kepada baginda maka tidak ada perkataan ragu-ragu atau was-was di hati baginda untuk menyebarkan Islam itu.

Keyakinan baginda

Al Mubarakfuri menyebut, keyakinan baginda itu berdasarkan antara lainnya, faktor ayat-ayat al-Quran itu sendiri yang ketika itu dalam surah-surah yang pendek, mempunyai suku kata dan kata-kata yang menarik, ada ritma dan rima bahasa yang menawan, bagaikan berbisik halus. Ia sejajar dengan suasana dakwah pada peringkat awal yang baginda laksanakan.

Maka bermulalah risalah yang turut memerlukan baginda supaya mengaturkan strategi bagi memastikan risalahnya itu tidak sahaja menepati sasaran malah kurang mendapat tentangan.

Ini apabila baginda memilih untuk menyampaikan Islam itu kepada mereka yang paling rapat dengan baginda, terutama kaum keluarganya dan para sahabat.

Maka di hari pertama sahaja dikatakan seramai empat orang dengan penuh keikhlasan telah menerima ajakan baginda untuk menerima Islam. Mereka ialah isteri baginda, Siti Khadijah, hamba baginda, Zaid bin Tsabit, sepupu baginda, Ali bin Abi Talib dan sahabat baik baginda, Abu Bakar As Siddiq.

Mereka ini dan ramai lagi yang menerima Islam di peringkat awal di kenali sebagai golongan As Sabiqun al Awwalun.

Siti Khadijah sendiri tanpa rasa ragu untuk menerima Islam tidak sekadar kerana Nabi Muhammad itu merupakan suami yang wajib beliau taati. Mahupun akibat pengaruh kata-kata bapa saudaranya yang merupakan seorang rahib atau pendita Nasrani yang sebelum ini meramalkan mengenai kerasulan baginda itu. Namun, kerana kemuliaan dan ketinggian akhlak yang dimiliki oleh baginda.

Bayangkan jika yang ingin menyampaikan itu mempunyai akhlak yang buruk sekalipun telah jelas bahawa agama yang cuba dibawanya adalah benar?

Sebab itu antara lain, makna agama itu sendiri adalah akhlak. Dalam satu riwayat; Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, apakah agama itu?” Rasulullah menjawab; “Akhlak yang baik”.

Kemudian lelaki itu datang semula ke bahagian kanan baginda dan bertanya soalan yang sama dan baginda menjawab: “Akhlak yang baik!” Lelaki itu kemudiannya beralih ke bahagian kiri baginda dan bertanya sekali: “Apakah agama itu Ya Rasulullah?” dan baginda terus menjawab; “Akhlak yang baik” dan lelaki itu pergi ke belakang baginda dan bertanya soalan yang sama, baginda kemudiannya menjawab: “Belum jugakah engkau mengerti? Agama itu adalah akhlak yang baik. Sebagai misal, janganlah engkau marah” jawab baginda sambil tersenyum. (Kitab Al Targhib wa Tarhib 3: 405)


Hasad Dengki

Ogos 6, 2009

Semoga bermanfaat…

Hasad dengki sebenarnya ialah penyakit hati dan maksiat batin yang terdapat pada manusia tanpa mengira bangsa dan keturunan. Perkataan hasad berasal daripada bahasa Arab iaitu al-hasad. Orang yang mempunyai sifat hasad ini mengharapkan sesuatu nikmat yang ada pada seseorang berpindah kepada dirinya.

Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘dengki’ digandingkan dengan perkataan hasad bermaksud: “Kebencian (kemarahan) kerana perasaan cemburu atau iri hati yang amat sangat.” Jadi, hasad dengki merupakan perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat sesuatu kebaikan.”

Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3. Takbur.

Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diri terhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Ujub.

Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.

Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.

Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.

Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.

Walau bagaimanapun dalam Islam terdapat dua perkara yang dibenarkan hasad. Jenis hasad ini dipanggil sebagai ‘ghibtah’ iaitu iri hati dengan kejayaan dan kemampuan seseorang lalu dia cuba bersaing secara sihat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak boleh dengki dan iri hati kecuali dalam dua perkara; iaitu iri hati terhadap orang yang dikurniai harta lalu menginfakkannya (di jalan Allah) pada malam dan siang hari, (juga iri hati) kepada orang yang diberi kepandaian membaca al-Quran lalu membacanya setiap malam dan siang” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Wassalam


Kalau tuhan itu baik kenapa cipta neraka?

Ogos 6, 2009

Ini
kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek
pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang
melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, kerap kali pihak berkuasa
tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan
dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis
berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang
dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka
akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati
masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam
setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para
pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan
nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak
mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam
satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang
gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya
Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka
dia pun kena denda la…setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai
PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, “..lepas ni diharap saudari insaf
dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan
majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah.
Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas
dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,
takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.
Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam
neraka…”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,
tiba-tiba membentak “Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat
neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha
Penyayang?” Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar
nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai
tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau
dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel,
ustaz tu pun jawab:
“Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi
ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi,
atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti
masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi
pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak
ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?”

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:
“perkara
macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,
orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi
orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua
orang akan ‘lulus’ percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh
dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di
syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang
terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’. Adakah Tuhan macam ni yang kita
nak? Awak rasa, adil ke?”; tanya ustaz.

“Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je..” rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi:
“Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:
“Adik,
saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha
Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk
menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan
juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji
kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka
bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya
dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat
bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita
jugak. Assalamu’alaikum.”