Teruskan Berdoa

Ogos 7, 2009

Dato’ Dr Haron Din
SOALAN: Berdoa kepada Allah untuk memohon sesuatu adalah digalakkan, dan yang paling makbul doanya adalah yang paling hampir kepada Allah. Kita telah banyak berdoa, termasuk orang-orang yang soleh di kalangan kita, tetapi semacam tidak dimakbulkan, mengapa berlaku demikian, pernahkah doa Rasulullah s.a.w., tidak dimakbulkan Allah SWT. Tolong Dato’ jelaskan. – MOHD ALI BAHAROM, Hulu Langat
JAWAPAN: Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.
Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): “Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu…” (Surah al-Ghafir, ayat 60)
Firman Allah (mafhumnya): “Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)
Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi’li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.
Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT.
Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.
Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.
Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.
Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.
Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.
Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai ‘khalilullah’ – kekasih Allah – sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.
Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan.
Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta.
Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.
Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.
Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan.
Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): “Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan. ”
Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: “Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya.”
Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.
Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: “Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat).”
Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.
Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba- Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.
Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.
Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.
Mengenai soalan saudara, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak.
Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.
Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): “Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui.”
Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.
Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.
Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.
Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): “Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, “Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan.”
Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya.
Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.
Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.
Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat. Wallahua’lam.


Jangan mencaci sesama Islam

Ogos 7, 2009

SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.
Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.
Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”
Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”
Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.
Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.
‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?” Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.
‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”
Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.
Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.
Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.
Oleh itu sikap yang paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.
Tetapi malangnya di kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan itu dilihat sebagai musuh politik mereka.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan daging saudaranya sendiri.’’
Dalam riwayat lain, Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim dari lidah dan tangannya.
perbuatan
Di zaman Nabi, pernah ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul. Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku. Seandainya kalian membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”
Sebenarnya pokok pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut hati serta perasaannya sahaja.
Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.
‘‘Tidakkah ini daging yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan,” jawab Lukman.
Pada satu hari majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.
Apabila pulang Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging yang busuk.
‘‘Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”
Justeru adalah jelas lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah akan mudah berkata-kata yang buruk.
Oleh itu dalam kita memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita namun persaudaraan Islam tetap harus menjadi teras utama.
Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’’ .
Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya “berteman’’, sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali ‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang Muslim lain sebagai saudara kandungnya.
Ukhuwah Islamiah dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain.
memaafkan
Di dalam al Quran, Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan, mendoakan dan melindungi.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
‘‘Berpegang teguh kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’
Semoga di sepanjang jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah biar siapapun kita


Menilai kemuliaan diri pada Syaaban, Ramadan

Ogos 7, 2009

Oleh Abdulrahman Haqqi

“JIKA kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka ia dendam. Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan, ia perkara biasa. Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan, ia adalah zalim. Tetapi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan itu adalah mulia dan terpuji,” kata novelis terbilang berasal dari Kanada pada awal abad ke-20, Moza de la Roche.

Dia menjadi terkenal dengan novel bersirinya bertajuk Jalna yang mula diterbitkan pada 1927 walaupun sebenarnya dia sudah menerbitkan kisahnya untuk pertama kali dalam Munsey’s Magazine pada 1902.

Kita melihat hikmah yang mendalam di sebalik kata-kata novelis yang meninggal dunia pada 1961 itu. Nilai kebaikan sejagat yang ada di dalamnya ialah – balaslah kejahatan dengan kebaikan jika kita ingin hidup mulia dan terpuji dan jangan sekali-kali kita berbuat sebaliknya kerana ia satu kezaliman.

Dengan andaian bahawa La Roche tidak pernah membaca al-Quran, bagaimana dengan ayatnya yang bermaksud: “Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang sudah ditimpa kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar.” (Surah al-Nahl: 126)

Nilai kebaikan sejagat yang ada pada ayat ini ialah sifat mulia dan terpuji yang ada pada kesabaran dengan tidak membalas kejahatan orang lain terhadap diri kita walaupun ia dibenarkan atas dasar qisas sebagai ‘semangat’ keadilan.

Oleh itu kita dapati baginda Rasulullah SAW menarik balik sumpahnya untuk mengqisas Wahsyi, budak yang membunuh bapa saudara Rasulullah, Hamzah kerana baginda mahu mendapatkan pahala sabar yang besar di samping melaksanakan anjuran Allah SWT dalam ayat di atas.

Maha Benar Allah SWT dengan firman-Nya bermaksud: “Dan bersabar (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.” – (Surah al-Nahl: 127).

Pada bulan yang mulia ini, Syaaban sebagai pembuka kepada bulan mulia yang lain, Ramadan ada baiknya kita menilai diri di manakah keadaan kita sebenarnya di antara orang yang mulia? Orang yang mulia berakhlak baik kerana akhlak yang baik itu adalah kebahagiaan tersendiri, sedangkan akhlak yang buruk adalah petaka dan bencana.

Dalam hadis bermaksud: “Sesungguhnya akhlak yang baik dapat menjadikan seseorang mampu mencapai darjat orang yang suka berpuasa dan orang yang suka melakukan sembahyang malam.”

Baginda sentiasa berdoa pada Syaaban ini dengan doanya yang masyhur Allahumma barik lana fi Sya’ban, wa ballighna Ramadan, Ya Allah, anugerahkan kami keberkatan pada Syaaban dan sampaikan hidup kami ke Ramadan. Betapa mulianya Ramadan sehingga Baginda mengharapkan dapat hidup di dalamnya walaupun di antara Syaaban dan Ramadan tinggal selangkah lagi. Betapa besarnya Ramadan sehinggakan Baginda ingin mendapatkan kebesarannya walaupun masih berada dalam Syaaban.

Kebaikan yang ada dalam kedua-dua bulan mulia ini sangat banyak dan tidak seperti bulan lain. Baginda tidak pernah banyak berpuasa sunat kecuali pada Syaaban, sedangkan selama Ramadan baginda menunaikan kewajipan puasa.

Pada Syaaban, ada malam Nisfu Syaaban dan dalam Ramadan ada malam Nuzul al-Quran. Dalam Syaaban ada solat sunat Nisfu Syaaban bagi sesetengah umat yang mahu melakukannya, manakala pada Ramadan ada solat tarawih bagi semua umat. Pada Syaaban pengampunan Allah SWT ke atas umat manusia kecuali orang musyrik, orang yang bermusuhan, pembunuh diri dan pelaku zina manakala pada Ramadan ada pembebasan manusia daripada api neraka.

Kebaikan sedemikian yang kita cari di dunia sebagai jalan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak. Melalui kebaikan itu kita akan mendapatkan kemuliaan dan kemuliaan akan mendekatkan kita kepada al-Khaliq, Maha Pencipta.

Allah berfirman yang bermaksud: ”Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah SWT) kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan. Kepada Allah jugalah segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan) dan amal yang salih pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) dan sebaliknya: orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.” – (Surah Fatir: 10)

Jika kemuliaan boleh didapati dengan melaksanakan perintah Allah SWT seperti dikatakan ayat di atas, maka sebaliknya kehinaan akan diperoleh seseorang jika dia mengetepikan perintah berkenaan.

Dalam realiti kehidupan negara, kemuliaan warga negara dapat diperoleh jika dia melaksanakan semua peraturan negara dengan baik. Bagi pemimpin pula, kemuliaan kepemimpinannya akan semakin terserlah dengan lapan perkara.

Abu Ja’far bin Babawaih al-Sijistani berkata: “Seorang raja pernah menulis surat kepada raja negeri lain. “Bagaimana engkau mengatur kerajaanmu dan memerintah rakyatmu? Raja negeri itu menjawab: “Dengan lapan cara; tidak bergurau ketika memerintah dan melarang; tidak melanggar satu pun janji dan ancaman; menghukum berdasarkan kesalahan bukan berdasarkan kedengkian; mengangkat pegawai berdasarkan kecekapan bukan berdasarkan keinginan; memujuk hati rakyat dan tidak memaksa; mempermudah pemberian kebenaran bukan kerana kelemahan; menyediakan bahan makanan dengan merata dan menghindari perkara yang berlebihan.”

Kemuliaan itu bukanlah diukur dengan kegagahan dan penampilan. Hidup kekurangan bukanlah bukti bahawa dia hidup sengsara. Demikian pula kebahagiaan, tidak dinilai daripada banyaknya harta dan hidup dalam kemewahan.

Nilai manusia yang mulia sebenarnya diukur daripada kemurahan hati dan sifat terpuji, bukan baju yang dipakainya, kasut yang digunakannya, bukan istananya dan bukan pula rumahnya. Justeru, yang menjadi ukuran ialah nilai ilmu, dermawan, kesabaran dan akalnya yang dirangkumkan dalam istilah takwa. “Sesungguhnya, orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa,” maksud firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 13.

Syaitan sebagai musuh yang wajib kita lawan menyuruh berbuat jahat dengan tidak mengendahkan ajaran Allah. Dengan mengikuti jejaknya itu kita akan tersesat dan hina. Oleh itu supaya kita tidak tersesat dan menjadi mulia, kita wajib melawannya dengan tidak membalasnya melakukan perbuatan dosa tetapi dengan melakukan perbuatan baik. Di situlah kemuliaan manusia terserlah dan pada Syaaban dan berikutnya Ramadan adalah masa sesuai untuk bertindak menuju kepada kemuliaan. Allahumma barik lana fi Sya’bana wa ballighna Ramadana